Seperti batu permata, bunga juga mempunyai maksud dan nilai artistiknya yang tersendiri mengikut bulan kelahiran kita.
Selain dimanfaatkan sebagai perhiasan atau bahan utama dekorasi, bunga juga boleh dijadikan sebagai pemberian paling bermakna buat si penerima. Cinta, kasih sayang, ungkapan tahniah, ikatan pertalian persahabatan malah ucapan selamat tinggal juga bisa diekspresikan menggunakan bunga.
Untuk pengetahuan anda, pemberian bunga sebagai hadiah kecil untuk sambutan Hari Jadi telah diamalkan sejak dari zaman Empayar Rome lagi.
Oleh itu, ini dia Wanista kongsikan bersama dengan anda, jenis-jenis bunga mengikut bulan kelahiran serta maksud bunga mengikut warnanya. Jadi, bolehlah lepas ni anda menghadiahkan bunga buat si pencinta flora berdasarkan bulan kelahiran seseorang.
JANUARI
Carnation atau bunga Teluki mempunyai banyak jenis warna.
Putih melambangkan kesucian, cinta dan tuah. Merah jambu pula adalah simbol feminin dan kasih sayang seorang ibu (sebab itu bunga Teluki sering dijadikan pemberian istimewa untuk hari ibu).
FEBRUARI
Bunga Iris atau Violet yang berwarna ungu ini menggambarkan kebijaksanaan serta kekuatan gerak hati individu yang lahir pada bulan Februari. Ia turut melambangkan sifat rendah hati dan kebajikan.
Bunga ini lazimnya sering dimanfaatkan untuk kegunaan sebagai pewarna makanan ataupun sebagai hiasan menawan .
MAC
Bunga Daffodil untuk bulan Mac terkenal dengan warna kuningnya yang menonjol namun, ada juga bunga Daffodil yang berwarna putih dan oren.
Ia membawa maksud kelahiran semula sekaligus menjadi simbol kepada kebahagiaan, kehormatan, dan persahabatan.
APRIL
Ini dia bunga kegemaran ramai, Daisy. Ia sering dikaitkan dengan keceriaan, kecantikan, kesucian serta kemurniaan.
Yup! Daisy juga merupakan bunga kegemaran Queen Victoria 🙂
Bunga Daisy mula ditemui di bumi Afrika Selatan meskipun lakaran bunga ini telah ditampilkan sejak 3000 sebelum masihi.
MEI
Lily atau bunga Bakung ini adalah mirip bentuk loceng. Ia menjadi bunga rasmi untuk bulan Mei kerana pada bulan inilah selalunya bunga Lily kian mekar di taman-taman.
Lily simbol kemanisan serta rendah hati.
JUN
Sewaktu zaman penjajahan ratu Queen Victoria, adalah dilarang sama sekali untuk seseorang mengekspresikan perasaannya terhadap individu yang satu lagi.
Oleh itu, mereka menggunakan bunga Ros pelbagai warna untuk menyampaian maksud-maksud yang tertentu.
- Merah: Cinta romantis
- Merah Jambu: Kelembutan dan kekaguman
- Merah Jambu Gelap: Terima kasih dan penghargaan
- Putih: Kesucian, persahabatan serta hormat
- Kuning: Persahabatan dan ambil-Berat
- Jingga: Semangat
- Merah Hati:Kecantikan
- Hitam: Kematian & ucapan selamat tinggal
JULAI
Menjadi simbol kepada keterbukaan hati, ceria dan boleh dikaitkan dengan perasaan romantik yang kuat.
Oh ya! Warna ungu itu juga menjadi simbol kepada cinta pertama 🙂
OGOS
Bunga Gladiola yang mempersona ini menjadi simbol kepada keberahian. Ia turut membawa maksud kekuatan dan ketulusan.
Untuk pengetahuan anda, bunga ini mendapat namanya dari perkataan Latin yang bermaksud ‘pedang’.
SEPTEMBER
Merujuk kepada kekuatan badan, minda dan jiwa. Ia turut menjadi simbol kepada kesabaran serta kehalusan sifat seseorang.
Dalam masa yang sama, bunga Asters turut digunakan oleh sesetengah budaya mengikut kepercayaan mereka untuk memberi pengikhtirafan dan menunjukkan rasa hormat kepada para pahlawan yang gugur di medan perang.
OKTOBER
Seperti bunga seri pagi, Marigold yang berwarna terang keemasan ini menjadi simbol kepada kasih sayang abadi. Ianya sangat elegen dan melambangkan kelembutan serta kecantikan seorang wanita.
NOVEMBER
Bunga Kekwa ini sering dikaitkan dengan matahari dan bersifat ceria.
Saat kelopak bunganya mula mekar, ia akan kelihatan tersusun menjadikannya sebagai salah satu bunga yang sinonim dengan kesempurnaan.
DISEMBER
Bulan tibanya musim sejuk, dedaun hijau yang ditemani beri berwarna merah saga ini menggambarkan jati diri dan kemanisan. Bahkan bunga yang mekar disaat hujung tahun ini merupakan simbol kepada kebahagiaan dan kejayaan.
Jadi, tarikh lahir anda jatuh pada bulan berapa? 🙂