Pedofil Guna “Dark Web” Elak Dikesan Pihak Berkuasa

Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia bagi mengesan aktiviti jenayah terancang seperti pedofil di negara ini.

Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi Universiti HELP, Datuk Akhbar Satar berkata mereka yang terbabit dalam aktiviti pedofilia ini menggunakan platform internet iaitu ‘dark web’, yang merupakan jaringan sejagat (wwww) dengan jaringan tindihan menggunakan internet awam menerusi perisian tertentu bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa. 

“Segala aktiviti seperti gambar dan video mangsa pedofil dimasukkan ke dalam ‘dark web’ dan banyak lagi aktiviti yang menyalahi undang-undang dibuat menerusi talian itu.

“Oleh itu, kaedah penyiasatan tradisional seperti soal siasat secara bersemuka tidak lagi berkesan dalam era globalisasi ini,” katanya kepada Bernama selepas program Ruang Bicara Bernama News Channel yang bertajuk “Pedofil: Awasi Anak Anda” yang dihoskan Sherkawi Jirim di sini, semalam.‎

Selain itu, Akhbar mencadangkan pihak berkuasa menggunakan khidmat penggodam profesional di Malaysia untuk mengenal pasti penjenayah itu.

“Malaysia mempunyai banyak penggodam beretika dan tidak salah jika agensi penguat kuasa mendapatkan khidmat mereka untuk selesaikan isu ini,” katanya.

IKLAN

Pada 5 Jun lepas, Richard Huckle, seorang warganegara Britain, dikenakan hukuman penjara seumur hidup sebuah mahkamah di London selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Media Britain melaporkan Huckle, 30, dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan meringkuk dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun atas jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa yang berasal dari keluarga miskin berusia enam bulan hingga 11 tahun.

Huckle mengaku bersalah terhadap 71 kesalahan dan polis menemukan lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

Baru-baru ini, media Britain melaporkan Huckle, seorang jurufoto bebas, mungkin melakukan penderaan seksual melibatkan 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.

Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsa adalah daripada golongan miskin di Kuala Lumpur. -Bernama

 

ARTIKEL BERKAITAN