Sekali lagi bintang filem Bollywood, Salman Khan mencetuskan kontroversi dan kemarahan kaum wanita di India selepas menyifatkan sesi latihan yang dijalani untuk filem terbaharunya, membuatkan dirinya berasa seperti ‘wanita yang telah dirogol’.
Dilaporkan, Salman, membuat kenyataan berkenaan dalam temubual dengan media bagi mempromosikan filem Sultan, di mana dia membawakan watak sebagai penggusti profesional.
“Ia merupakan sesuatu yang paling sukar. Apabila saya masuk ke gelanggang, ia seperti keadaan di mana wanita yang dirogol berjalan keluar,” katanya.
Dia menyatakan demikian ketika ditanya oleh pemberita di Mumbai mengenai perasaannya terhadap jadual ketat latihan yang dilalui untuk membawakan watak penggusti berkenaan.
Kenyataan yang dibuat oleh Salman itu telah mencetuskan kemarahan dan satu hashtag #InsensitiveSalman telah menjadi trending selama beberapa jam.
Salman yang selama ini dikenali dengan imej ‘nakal’ bagaimanapun tidak memberikan sebarang ulasan mengenai perkara tersebut. Dalam pada itu, aktivis yang pernah menjadi mangsa rogol, Sunitha Krishnan menyifatkan Salman sebagai memalukan.
“Hakikatnya dia dengan mudah membandingkan dirinya dengan mangsa rogol. Keadaan ini menunjukkan Salman meremehkan mangsa rogol dan budaya rogol. Menjadi terkenal harus diiringi dengan tanggungjawab. Dia sanggup membandingkan trauma, parut dan penganiayaan mangsa rogol dengan peranannya dalam filem,” demikian tulis Sunitha.