Seekor kuda yang dikesan berlari atas jalan raya di sini dan viral di media sosial sejak awal minggu ini dijual tanpa pengetahuan pemilik asalnya di internet dengan harga RM3,000.
Kuda yang diberi nama ‘Michael’ atau panggilan manja ‘Seman’ kini dikesan berada di sebuah rumah di Kampung Gong Dermin, bersedia untuk diserahkan kepada individu yang membelinya di laman web mudah.com.
“Seorang rakan rapat dan selalu menjaga Seman telah ke rumah terbabit dan mendapati kuda itu berada di sana.
“Namun ‘pemilik’ barunya itu mendakwa dia telah membeli seman daripada seseorang dari Kota Jembal dengan harga RM1,500 beberapa hari lalu,” kata Wan Hanif Wan Mohd Noor dilapor Kosmo! semalam.
https://www.youtube.com/watch?v=P7v7vwmcOic
Wan Hanif, 25, merupakan adik kepada pemilik asal, Wan Mohd Eddie Sham, 39 yang membeli kuda baka ‘thoroughbred’ itu pada tahun lalu dengan harga RM4,000.
Beliau cuba meminta untuk memulangkan Seman semula kepadanya namun lelaki itu meminta bayaran RM1,000.
“Apa yang menghairankan dia meminta hanya RM1,000 dan bukan RM1,500 seperti mana kos pembelian Seman yang didakwanya.
“Ketika diminta penjelasan kenapa perlu menjual Seman dengan harga RM3,000 dia kata mahu buat persiapan hari raya,” katanya.
Wan Hanif bagaimanapun enggan membuat laporan polis kerana mahu perkara itu diselesaikan secara baik.
Beliau sebelum ini mendakwa Seman hilang sejak Khamis minggu lalu selepas meletakkannya dalam kandang rumah keluarga di Gertak Kecupu, Binjai dan disedari hilang pukul 4 pagi.