Hampir setahun “mendiami” Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), seorang warga Turki di sini mula berasa selesa apabila mampu menjana lebih RM400 sehari.
Dakwaan itu dibuat penyelia kebersihan pintu masuk utama negara yang memerhati hasil kutipan lelaki berkenaan yang mampu menjana sehingga RM12,000 sebulan.
“Sepanjang tiga bulan bertugas menjaga kebersihan surau dan tandas di KLIA ini, setiap hari saya melihat dia meminta wang daripada orang ramai yang datang ke surau untuk mendirikan solat.
“Hasil kutipannya lebih RM400 setiap hari. Jika dia cakap duit tersebut akan digunakan untuk membeli tiket pulang ke negara asalnya, wang kutipan itu sudah lebih daripada mencukupi,” kata Mustafa Kamal Shah Alam seperti dilaporkan Kosmo!.
Lelaki itu, yang dikenali sebagai Muhammad, berkata duit yang dikumpul itu — di luar surau anjung tinjau di aras lima KLIA – untuk membeli tiket pulang ke negara asalnya.
Walaupun sudah berada di KLIA sejak Ogos tahun lalu namun wang yang dikutip masih belum mencukupi, tambahnya.
“Saya tinggal di sini bagi mengumpul duit untuk membeli tiket penerbangan supaya dapat kembali bersama isteri dan tiga anak saya di Istanbul,” dia dilaporkan berkata.