Kulit anda berjerawat serta mempunyai banyak parut mahupun tompok hitam yang sukar untuk ditutup dengan lapisan bedak asas biasa?
Mari Wanista ajar anda, bagaimana anda boleh menghilangkan segala parut, jerawat serta tona kulit yang tidak sekata dengan hanya menggunakan palet color corrector.
Apakah Color Corrector?
Color corrector adalah sejenis krim solekan yang bisa digunakan untuk meneutralkan kembali warna kulit wajah agar tampak sekata dan sempurna.
Palet color corrector biasanya hadir dalam 5 hingga 6 warna berlainan yang terdiri dari Hijau, Kuning, Oren, Peach, Ungu dan Coklat bahkan kadang-kala turut disertai warna-warna yang sering digunakan untuk teknik cotouring -bertujuan menampakkan ilusi wajah lebih tirus dan kurus.
Bila Hendak Digunakan?
Teknik solekan ‘pembetulan warna’ ini biasanya dilakukan sebelum anda melapisi muka dengan bedak asas (foundation) serta concealer.
Bagaimana Hendak Menentukan Warna Yang Tepat?
Seperti yang kita pernah belajar dalam subjek Pendidikan Seni, untuk mendapatkan warna kulit sekata yakni meneutralkan serta menyembunyikan cela pada wajah, anda harus fahami roda warna terlebih dahulu.
Sebagai contoh, jika anda mahu menutup kemerah-merahan pada wajah seperti jerawat yang masih merah, di penjuru bibir dan hidung yang kemerahan, mahupun kesan kemerahan pada kulit yang disebabkan oleh selaran matahari (sunburn), gunakan krim color corrector berwarna HIJAU kerana melihat pada rajah roda warna di atas, MERAH bertentangan dengan HIJAU.
Untuk warna OREN/PEACH, gunakannya untuk menutup cela yang berwarna gelap pada sekitar wajah anda contohnya lingkaran gelap bawah mata, kesan urat biru, parut jerawat, pigmentasi serta tompok hitam bagi mencerahkan kawasan yang berkenaan. Mengikut rajah roda warna, BIRU bertentangan dengan OREN.
*** Jika berkulit gelap, gunakan krim color corrector berwarna OREN manakala untuk mereka yang berkulit cerah, sila cari krim color corrector berwarna PEACH untuk menyeimbangi warna asli kulit.
Bagi menyekatakan tona kulit yang berbelak/berbelang, mencerahkan kompleksi wajah yang kusam ataupun mana-mana bahagian wajah yang kelihatan agak kelabu, anda boleh manfaatkan krim color corrector berwarna UNGU.
Jika wajah anda mempunyai kesan lebam, ataupun sekitar kawasan kelopak mata yang agak lebam warnanya, anda boleh sapukan krim color corrector rona KUNING untuk menaikkan kembali warna kulit yang cerah dan sekata.
Cara Sapuan?
Guna berus stippling (penghujung bulu berusnya tajam dan tirus) atau span beauty blender untuk menekap produk ke dalam wajah. Jangan gunakan sapuan cara menarik (buffing) kerana itu akan merosakkan solekan, bahkan membuatkan sapuan nampak tidak sekata.
Lakukan teknik color correcting terlebih dahulu, sambil diikuti rutin solekan biasa seperti sapuan bedak asas (foundation), concealer, “baking” dan contouring.
Hasilnya?
Hasilnya, solekan anda tampak bersih dan mulus tanpa cela. Kesemua parut dan kekusaman kulit telah disembunyikan secara teratur menggunakan teknik color correcting itu tadi. Hebat kan?
Inilah kunci dan rahsia untuk mendapatkan kulit flawless persis supermodel ternama! Meskipun kulit berjerawat dan berparut, anda masih mampu kelihatan hebat. Semuanya kerana “the power of makeup”.
Selamat beramal!