Sejak kebelakangan ini, produk berasaskan minyak marula semakin mendapat tempat di kalangan wanita. Sebagai contoh, produk rambut daripada pelakon cantik, Anzalna yang dipanggil Anzel Hair boleh dikatakan sangat laku di pasaran.
Jadi, tertanya-tanya juga apa kebaikan minyak marula ini sampai ramai yang mula mencarinya di butik kecantikan. Untuk pengetahuan anda, minyak marula datangnya daripada buah marula, sejenis buah yang berasal dari negara Afrika.
Dari segi kandungannya, minyak ini tinggi antioksidan, vitamin C, vitamin E dan flavonoids. Malah, minyak marula juga mengandungi antioksidan 60 peratus lebih tinggi daripada argan dan biji anggur. Kiranya, minyak ini berfungsi dengan baik dari rambut sehinggalah ke kaki.
Berikut adalah kelebihan dari minyak marula :
Sesuai untuk semua jenis kulit – Minyak ini mampu melembutkan, cepat diserap dan tidak akan meninggalkan kesan berminyak ketika dipakai. Oleh kerana itu, minyak ini boleh digunakan pada semua jenis kulit, mulai kering, berminyak sehinggalah kulit yang sensitif.
Bebas kimia – Kerana ianya 100% asli, minyak marula mempunyai ciri-ciri anti-mikrob, jadi minyak ini bebas daripada bahan kimia atau pengawet seperti parabens. Parabens digunakan dalam banyak produk penjagaan kulit untuk melanjutkan jangka hayat mereka dengan melindungi daripada pertumbuhan bakteria dan kulat. Terdapat beberapa kebimbangan terhadap kesan-kesan yang berpotensi toksik parabens diserap melalui kulit, tetapi minyak marula bebas dari sebarang bahan kimia sintetik.
Seimbangkan kelembapan kulit – Campurkan beberapa titis minyak marula pada produk penjagaan kulit atau foundation anda untuk menangkal radikal bebas. Teksturnya yang ringan dan mudah diserap boleh melembabkan kulit tanpa meninggalkan sisa minyak pada wajah.
Melembutkan dan menghaluskan – Selain dapat melembutkan kulit secara cepat, minyak marula juga membantu mengekalkan kelembutan kulit dengan melembabkan dan membaiki kerosakan pada permukaan kulit.
Anti-aging – Kandungan asid lemak, minyak omega, serta vitamin E dan C yang terkandung di dalamnya dapat membantu memulihkan keanjalan pada wajah dan mengurangkan kedutan akibat penuaan.
Mencegah jerawat dan menghilangkan noda pada wajah – Di samping melembabkan, kandungan zat anti-mikrob yang ada dalam minyak ini dapat membantu menghilangkan segala jenis noda pada wajah.
Berkesan untuk rambut dan kuku – Walaupun minyak marula bekerja dengan baik untuk kulit wajah, tetapi ia juga boleh digunakan untuk melembapkan tangan dan kuku anda, malah sebagai rawatan lembapan untuk rambut. Hanya dengan meletakkan beberapa titis di rambut, ianya membantu rambut lebih sihat dan berkilat. Minyak ini juga membantu menenang dan melega kulit selepas menghabiskan terlalu banyak masa di bawah matahari.