Kala melawat ke rumah jiran tetangga mahupun ke rumah sahabat handai untuk memenuhi tentatif undangan majlis keramaian, jarang sekali untuk kita menemui rumah yang menggunakan warna monokrom (hitam dan putih) sebagai warna asas kepada konsep utama dekorasi rumah.
Rata-rata individu lebih gemar menggunakan cara selamat dengan memanfaatkan perabot serta perkakas rumah warna tanah seperti perang dan coklat. Walau bagaimanapun, sudah menjadi lumrah kita sebagai rakyat Malaysia sangat menggemari sinergi warna-warni. Tidak salah untuk mencampur adukkan warna-warna menonjol sebagai sisi utama hiasan dalaman. Namun jika tersalah cara, rumah anda akan kelihatan seperti sarkas.
Dalam era moden masa kini, konsep minimalis telah mendapat perhatian umum. Ianya ringkas tapi mampu memancarkan aura yang bersifat tersendiri.
Wanista kongsikan bersama dengan anda, bagaimana inspirasi hiasan dalaman rona monokrom bisa meyerlahkan persona sesebuah kediaman.
#1 Menjadikan Konsep Hiasan Dalaman Lebih Mudah
Sangat praktial, sinergi rona hitam dan putih sebenarnya adalah merupakan gabungan dua warna bersahaja yang mampu melahirkan ciri mewah ke setiap sudut dalam rumah.
Untuk pengetahuan anda, lebih ringkas hiasan sesuatu ruangan itu, lebih sofistikated rupanya. Bahkan, ia membuatkan proses menghias lebih mudah kerana warna hitam dan putih pastinya sudah cocok untuk ‘dikahwinkan’ bersama.
Hiasan meja, hiasan dinding dan perabot yang berwarna hitam dan putih polos mungkin kelihatan bosan, tetapi anda boleh cuba padankan hiasan rona monokrom bertekstur serta ambil kira penggunaan corak cetakan yang versatile. Terapkan elemen campuk-aduk bersahaja ke dalam konsep hiasan dalaman anda itu. Ia pasti berhasil!
#2 Tidak Perlu Susah Payah Padankan Warna
‘”Color Block” tidak berapa sesuai untuk diterapkan sebagai konsep hiasan dalaman rumah. “Ada baiknya jika anda memanfaatkan warna-warna neutral kerana itu lebih mendamaikan”, jelas Robertson yang merupakan pakar hiasan dalaman.
Dengan menggunakan rona monokrom, anda tidak perlu membazir masa untuk membuat keputusan tentang pemilihan warna cat dinding, padanan warna perabot, dan sebagainya.
#3 Putih Bisa Bangkitkan Kehebatan
Seperti yang sering digunakan untuk berkarya, kanvas putih dapat menonjolkan kecantikan dan identiti sesebuah lukisan. Meskipun warnanya agak ‘kosong’, putih dapat menjadi latar terbaik jika anda mahu membangkitkan keserian rumah anda. Manakala, gunakan perkakas atau barang hiasan yang berwarna hitam untuk menarik perhatian.
Putih juga sebenarnya dapat menampakkan ilusi ruang lebih luas.
Seperti kebanyakkan artis (pelukis) ternama, mereka memang gemar menggabungkan putih bersama hitam. “Black loves White & White loves Black,” jelas Roberston lagi.
#4 Monokrom Dapat Ditonjolkan Dengan Ciri Tambahan
Mempunyai palet warna ringkas tidak semestinya akan membuatkan rumah anda kelihatan seperti penjara. Sedikit sebanyak, anda boleh menambah keserian ruangan menggunakan tanaman hijau untuk diletakkan di suatu sudut, mahupun menggunakan pasu bunga metalik berwarna emas dan perak untuk memberi sedikit kejutan buat sesiapa yang melihat.
Jika anda cukup bijak dan berani, anda boleh sertakan bersama hamparan tikar tenun atau meja berkaki kayu sebagai penyeri ruang untuk menaikkan keserian latar monokrom dalam rumah.
#5 Hindarkan Pening Kepala
Sering keliru sama ada mahu mencerahkan ruangan dalam rumah yang gelap atau meneutralkan kembali ruangan dalam rumah yang terlalu terang dek kerana tingkap di keliling menangkap masuk cahaya matahari? Hm, tak perlu pening kepala lagi.
Cat dinding berwarna hitam sebenarnya dapat menjadi pemantul cahaya lampu yang baik di waktu malam sekaligus dapat meredupkan ruang di waktu pagi demi menjadikannya ruangan yang paling tepat untuk beristirahat mahupun tidur.