Walau menafikan mencukur kening semasa perhimpunan sekolah pada Selasa, pelajar perempuan tingkatan tiga tetap dikenakan hukuman oleh guru terlibat.
Siti Nursyahida Zulkifli, 15, ditampar di belakang kepala sebanyak tiga kali oleh guru wanita, menyebabkan kes berkenaan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.
“Saya hanya menyedari anak seperti menahan kesakitan ketika mengambilnya untuk pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan sebelum dia menceritakan apa yang berlaku sambil menangis.
“Pada hari yang sama, anak saya mula muntah-muntah dan keesokan harinya, anak mengalami kesakitan di lehernya,” kata ibunya Zakirah Zahari seperti dilaporkan Harian Metro.
“Sehingga kini anak saya ditempatkan di wad ortopedik dan kami masih menunggu laporan penuh dari hospital untuk mengetahui punca kecederaan.”
Zakirah, 35, berkata kecederaan Nursyahida mungkin disebabkan masalah saraf yang berpunca daripada kecederaan lama.
Tambahnya, tindakan pihak sekolah amat dikesali kerana guru yang terlibat tidak berbincang bersama pihak sekolah sebelum mengambil tindakan.
“Saya tidak menolak kemungkinan, masalah saraf [Nursyahida] itu berpunca daripada kecederaan lamanya yang pernah terjatuh di tandas rumah tahun lalu sebelum terlantar di hospital hampir dua bulan.
“Kami menunggu laporan penuh dari hospital sebelum mengambil tindakan lanjut,” dia dilaporkan berkata.
SUMBER