Siapa dah tonton filem blockbuster dari Bollywood berjudul Bajrangi Bhaijaan? Dak ke belum? Kalau belum, kena tonton dan sediakan tisu.
Selain jalan ceritanya yang menyayat hati, pelakon Salman Khan dan Kareena Kapoor sebagai tunggak utama, ada lagi satu daya penarik yang membuatkan ramai menonton filem ini. Anda tahu, apa dia? Ya, pelakon cilik bernama Harshaali Malhotra yang bisu dalam filem tersebut. Keletahnya yang bersahaja berjaya memikat hati jutaan peminat bukan sahaja di India.
Difahamkan, kemasyuran bintang paling comel Bollywood, Harshaali Malhotra masih hangat menyinar selepas berlakon dalam filem blockbuster, Bajrangi Bhaijaan tahun lepas dan memikat hati jutaan peminat.
Dalam filem Bajrangi Bhaijaan, pengkritik filem menyifatkan Harshaali sebagai ‘watak utama’ dek lakonannya yang ‘terlalu berkesan’ dan ‘menyamai bakat bintang Bollywood terkenal seperti Salman Khan dan Kareena Kapor.
Bajrangi Bhaijaan merupakan ‘debut’ Harshaali ke pentas layar besar walaupun sebelum ini pernah berlakon dalam drama Qubool Hai, Laut Aao Trisha dan Jodha Akbar.
Salman Khan sendiri mengakui Harshaali ‘membawa tenaga yang menakjubkan’ ketika penggambaran filem Bajrangi Bhaijaan bersama si comel ini.
“Saya betul-betul suka setiap saat yang saya habiskan bekerja dengan Harshaali,” kata Salman Khan.
Dalam filem Bajrangi Bhaijaan, Salman Khan membawa watak lelaki berhati mulia yang cuba menghantar kembali watak Harshaali, seorang kanak-kanak Pakistan untuk keluar dari India.
“Harshaali sangat cantik dan unik. Apa yang beliau lakukan di layar dan belakang layar adalah menakjubkan dan memukau. Saya pasti Harshaali juga adalah kanak-kanak paling cantik dan menawan saya pernah temui,” tambah Salman lagi.
Sebelum Harshaali diterima berlakon dalam filem berkenaan, tenaga produksi mengadakan sesi casting terhadap lebih 5,000 calon. Rezeki Harshaali yang kini berusia 8 tahun juga melimpah ruah selepas pembabitannya dalam Bajrangi dan kini sudah muncul dalam berpuluh-puluh iklan, mendapat tajaan dan menjadi duta pelbagai produk.