Denda RM220, 000 dan penjara lima tahun boleh dikenakan ke atas majikan dan syarikat yang masih ingkar melaksanakan Skim Gaji Minimum 2016 yang berkuasa 1 Julai lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan atau syarikat yang didapati bersalah kerana pelaksanaan fasa baharu gaji minimum telah diputuskan bersama dengan semua pihak termasuk majikan, wakil pekerja dan juga kerajaan.
Bagaimanapun katanya, laporan penuh berkaitan jumlah majikan yang diperiksa dalam operasi penguatkuasaan besar-besaran semalam, belum diterima.
“Kita telah menjalankan kempen secara berperingkat dalam penguatkuasaan gaji minimum ini kerana tidak mahu mengenakan tindakan undang-undang secara melulu. Justeru majikan seharusnya sudah bersedia menyusun sistem gaji pekerja mereka jika tidak mahu terbeban.
“Ini merupakan fasa kedua pelaksanaan gaji minimum RM1,000 di Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah, Sarawak dan Labuan. Jadi kalau masih ingkar juga, kena penalti,” katanya.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan besar-besaran akan dijalankan terhadap 600,000 buah syarikat swasta di seluruh negara bermula awal bulan ini bagi memastikan majikan mematuhi Perintah Gaji Minimum 2016.
“Lebih 1,200 penguat kuasa akan terlibat dalam operasi tersebut yang terdiri daripada 800 penguat kuasa di Semenanjung, 200 di Sarawak dan 200 lagi di Sabah,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis meraikan 65 bakal haji Parlimen Maran 2016 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Maran mengingatkan bakal bakal haji agar tidak menghadiri atau terlibat mana-mana kegiatan kumpulan militan Daesh.
“Perbaiki niat. Tujuan utama ialah untuk beribadat dan bukan melakukan sebarang kegiatan bertentangan agama dan undang undang Negara Arab Saudi. Jika terbabit sebarang kegiatan salah, maka amal ibadat haji itu sia sia sahaja,” katanya.