Kegilaan terhadap permainan Pokemon Go yang melanda dunia menyaksikan agensi pelancongan di Sepanyol cuba mengambil kesempatan dengan memperkenalkan pakej pelancongan berdasarkan permainan itu.
Iklan jawatan kosong oleh agensi pelancongan dari selatan Granada, Junior Travel menerima sambutan hangat daripada para pemain yang mahu bekerja sebagai jurupandu untuk kumpulan pelancong bagi memburu makhluk kartun Pokemon.
Setakat ini, agensi terbabit sudah menerima 2,000 permohonan dan calon yang layak mestilah sekurang-kurangnya sudah bermain sehingga ke tahap 20 daripada jumlah keseluruhan 40 untuk melayakkan mereka menjadi pemandu pelancong.
Di bawah pakej itu, pelanggan akan dibawa menaiki bas sambil diberi bimbingan cara memburu Pokemon dan bayaran dikenakan adalah 43 euro (RM192) sehari.