Kaedah rawatan tradisional berbekam kini menjadi kegilaan dalam kalangan atlet Amerika Syarikat lebih-lebih sejak ia mula diamalkan oleh jaguh renang negara itu sendiri, Michael Phelps.
Tanda lebam di bahagian badan Phelps sebelum ini telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat AS yang masih belum terdedah sepenuhnya dengan kaedah rawatan tradisional masyarakat Cina itu.
Terapi bekam bukan sahaja popular dalam kalangan atlit renang AS, sebaliknya atlet olahraga dan padang mereka turut menggunakan rawatan cara itu untuk meningkatkan prestasi mereka.
Menurut Pakar Prestasi Sukan AS, Ralph Reiff, amalan bekam merupakan salah satu daripada cara yang paling mujarab dalam kaedah rawatan alternatif untuk pasukan mereka.
“Berbekam dapat memperbaiki tisu-tisu dan otot-otot badan atlit sekali gus menambah baik ketahanan otot mereka. Pihak kami sentiasa berhati-hati melakukan bekam dengan hanya membenarkan staf yang terlatih sahaja melakukannya mengikut langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan,” kata Reiff.
Untuk pengetahuan anda, terapi bekam merupakan teknik perubatan yang menggunakan kaedah sedutan pada permukaan kulit untuk mengeluarkan darah dari bawah kulit.
Sebenarnya, teknik bekam ini telah wujud sejak dahulu lagi. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, cawan atau mangkuk kaca telah digunakan untuk tujuan berbekam. Manakala, orang Cina pada zaman kuno pula berbekam menggunakan tanduk. Orang Eropah pada abad ke-18 menggunakan lintah untuk menghisap darah kotor dan kaedah ini masih digunakan di sesetengah tempat di negara Barat hingga sekarang.
Jenis Bekam
1. Bekam Kering
Bekam kering atau bekam angin adalah teknik menyedut permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah kotor. Bekam kering ini sesuai bagi mereka yang tidak tahan dengan suntikan jaram dan takut melihat darah.
2. Bekam Basah
Bekam ini dilakukan dengan mencucuk permukaan kulit menggunakan jarum. Darah toksik dikeluarkan menggunakan alat-alatan perubatan bekam. Setiap kali proses mengeluarkan darah toksik mengambil masa antara 3-5 minit. Darah toksik dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan berbuih. Mereka yang berbekam dinasihati agar tidak mandi 3 jam selepas menjalankan bekam.
Kelebihan Terapi Bekam
1. Untuk Kesegaran Tubuh Badan
Terapi bekam dilakukan bertujuan untuk memanas dan melancarkan aliran tenaga dalam darah, sekaligus mampu membuatkan tubuh seseorang kembali segar dan bertenaga. Darah yang keluar menerusi kulit hasil daripada rawatan bekam adalah darah kotor yang sudah lama tersimpan di bawah lapisan kulit. Darah ini yang mendorong pelbagai penyakit dalam tubuh badan seseorang.
2. Mengurangkan Migrain dan Senggugut Pada Wanita
Berbekam juga mampu mengurangkan migrain dan masalah senggugut pada wanita, serta melancarkan peredaran darah yang tersumbat. Darah kotor yang terkumpul di bawah permukaan kulit akan menyebabkan rasa berat pada badan, dan terapi bekam akan melancarkan kembali peredaran darah tersebut.
3. Merawat Kulit Bermasalah
Bagi mereka yang mempunyai masalah kulit dan juga resdung, terapi bekam boleh dilakukan bagi merawat masalah berkenaan. Bekam juga mampu melancarkan aliran darah pada bahagian wajah agar kelihatan awet muda. Kulit muka yang bermasalah berpunca daripada bakteria-bakteria yang berkumpul dalam darah pada bahagian bawah muka. Apabila bekam darah dilakukan, kesemua bakteria tersebut akan disedut keluar bersama darah kotor yang pekat.
4. Membuang Angin Dalam Badan
Bagi individu yang sering mengalami keletihan dan kelesuan, bekam pada kawasan leher, bahu dan otot mampu memberikan kesegaran pada tubuh badan. Kebiasaannya, selepas berbekam, seseorang itu akan sendawa dan banyak angin akan keluar daripada badan, hasilnya badan akan terasa lebih ringan.