Selebriti dan fesyen memang tidak dapat dipisahkan. Tidak perlu melihat jauh sehingga ke bumi Hollywood, lihat sahaja selebriti tanah air kita.
Acap kali memenuhi undangan ke majlis-majlis glamor, setiap seorang dalam kalangan mereka pasti akan menggayakan busana mewah yang terdiri daripada pelbagai warna serta perincian. Ada yang sofistikated, ada yang elegen, ada yang ringkas, bahkan ada juga kelihatan unik dan hampir pelik.
Khas buat anda yang gemar memerhati gelagat selebriti, ayuh kami lampirkan bersama 10 pilihan persalinan busana kegemaran Wanista yang digayakan artis terkemuka Malaysia saat muncul di acara tahunan gilang-gemilang Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2016 tempoh hari.
#1 Fazura
Siapa yang tidak kenal dengan selebriti kita yang seorang ini? Dengan hanya merenung kejelitaannya sahaja sudah cukup untuk membuatkan ramai terkedu.
Meskipun Fazura bergaya ringkas dengan menyarungkan helaian dress paras lutut dari koleksi Innai Red, warna biru lembut itu bagaikan membuai imaginasi kita yang melihat. Ditambah pula dengan perincian fabrik berelung (ruffle) di bahagian atas dan penghujung dress secara tidak langsung menerbitkan aura ghairah yang bersahaja.
Tidak lupa, aksesori tas tangan genit motif cupcake bertatah batu permata dari Judith Leiber yang digandingkan bersama tumit tinggi platform rona metalik menambah sisi elegen untuk gaya “evening” bak Cinderella alaf baru.
#2 Scha Alyahya
https://www.instagram.com/p/BJU7o0QgNV0/?taken-by=losofaboloso
Menampilkan gaya fesyen jalanan yang moden dan sensasi, Scha memadankan celana palazo hitam bersama helaian kemeja putih -berperincian lebihan fabrik di setiap sisi.
Jaket bercetak pula dihamparkan secara kasual diatas bahu sebagai penambah seri kepada gaya yang polos.
Bukan itu sahaja, gaya sanggul jenis “messy” yang menghiasi kepala turut menarik perhatian disertai olesan gincu warna plum seakan memberi impak yang sedikit ‘nakal’. So cool!
#3 Lisa Surihani
Ibu baru yang merupakan isteri kepada salah seorang ahli kumpulan KRU ini tampil berani menggayakan persalinan suits berpotongan longgar hasil padanan rona merah dan putih.
Apa yang menarik perhatian, blazernya dihiasi dengan sulaman bunga timbul pada bahagian bawah, lantas menjadikan gaya formal kelihatan anggun dan cukup mempersona!
Oh! Tas tangan bertatah batu permata bentuk nanas dari Judith Leiber itu pun cantik juga! Cocok benar dengan gaya yang dibawa Lisa hari itu.
#4 Amelia Henderson
https://www.instagram.com/p/BJUJP06hQhE/?taken-by=ameliath&hl=en
Ingat lagi gadis yang pernah muncul dalam filem arahan arwah Yasmin Ahmad Talentime? Jelita benar si Amelia Henderson ini sekarang!
Yup! Sebab itu orang cakap, “less is more”. Amelia mengenakan persalinan dress paras lutut yang diinspirasi dari rekaan suits lelaki. Kelihatan sangat elegen dan sesuai untuk menghadiri acara malam!
Rambut ikalnya dibiarkan lepas sementara digulungkan sedikit agar kelihatan seksi. Manakala aksesori seperti anting-anting, “choker” dan statement ring membangkitkan cita rasa sensual.
#5 Tanuja Ananthan
Bekas Miss World Malaysia 2010, Thanuja Ananthan tampil dengan peplum floral tanpa lengan yang digandingkan bersama kain berbelah. Sangat sofistikated meskipun tidak dihiasi sebarang aksesori yang bergermelapan.
Bibirnya sengaja dioleskan dengan gincu rona gelap agar baju lebih menyerlah disertai lilitan reben keliling pinggang supaya dapat mewujudkan karakter feminin.
#6 Fyza Kadir
Kontra yang memberangsangkan! Skirt rona oren terang digayakan dengan “cape” biru -dihiasi sulaman manik labucci bermotif floral pada bahagian bahu sebelah kiri secara tidak langsung menarik perhatian lirik mata orang untuk memandangnya.
Sanggul yang diikat kemas gaya “ballerina bun” turut menjadikan gayanya lebih menawan persis tuan puteri!
#7 Nabila Huda
Bijak mengambil perhatian lensa kamera di acara Kuala Lumpur Fashion Week 2016, sekali pandang, anak raja rock Amy Search ini kelihatan persis karakter Disney Princess si Pocahontas!
Sama seperti gaya yang dibawakan Fazura, Nabila Huda tampil ringkas dengan cape bermotif “Aztec” berperincian jumbaian sambil rambutkannya didandan dua -dibiarkan jatuh melepasi bahu.
Dalam masa yang sama, solekannya juga tampak natural, diserlahkan pula dengan olesan gincu rona ‘nude’ pada bibir mungil miliknya.
#8 Hunny Madu
Mengetengahkan fesyen kontemporari moden. Hunny Madu seakan memberi nafas baru kepada penggayaan helaian tradisional seperti kebaya pendek dan kain sarung menerusi seleksi gaya yang dibawakan ketika memenuhi tentatif undangan ke acara pertunjukkan fesyen Kuala Lumpur Fesyen Week 2016. Cukup ayu dan sopan.
#9 Vivy Yusof
Sejak bergelar selebriti dan dikenal ramai orang, tuan gedung atas talian Fashion Valet yang menghimpunkan banyak jenama-jenama pereka sekitar Asia ini kelihatan semakin mengancam!
Tidak pernah gagal kala membuat pilihan helaian fesyen, Vivy menggayakan kot labuh berpotongan lurus rona biru -dihiasi pula dengan elemen ‘bulu-bulu’ gebu! Sangat mewah bak gadis Gatsby era 20an.
#10 Sharifah Sakinah
Merupakan seorang wanita yang urban dan hip, Sharifah Sakinah kelihatan ayu menggayakan dress putih yang diperbuat daripada fabrik bertekstur. Sangat eksklusif, menyerlahkan lagi bentuk tubuhnya yang langsing dan lampai.
Secara kesimpulannya, artis-artis kita ini gemar berpenampilan ringkas. Namun masih lagi mengekalkan aura mewah yang diserlahkan melalui pemilihan fabrik, aksesori serta perincian-perincian menonjol.
Jadi, apa pendapat anda dengan gaya selebriti kita untuk Kuala Lumpur Fashion Week tahun ini?