Bekas jurulatih badminton negara meramalkan gadis berusia 16 tahun Goh Jin Wei bakal menyinar di peringkat dunia, menggantikan Datuk Lee Chong Wei.
Rashid Sidek melihat Goh memiliki bakat besar selepas menjuarai Kejohanan Remaja Dunia di Peru tahun lalu dan boleh digilap untuk Olimpik Tokyo pada 2020.
“Sehingga kini saya belum nampak siapa pengganti Chong Wei biarpun terdapat beberapa nama yang dianggap berpotensi,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
“Namun jangan lupa kita ada Jin Wei. Usianya baru 16 tahun dan akan mencecah 20 tahun kalau layak ke Olimpik 2020 Tokyo.
“Apa yang saya boleh katakan, kita kena jaga budak itu elok-elok. Beri segala yang terbaik.
“Saya yakin kalau semua berjalan lancar sekurang-kurangnya ada pengubat harapan untuk mencari pengganti Chong Wei biarpun dalam versi wanita.”
Remaja kelahiran Pulau Pinang itu mencipta rekod, muncul pemain pertama Malaysia menjuarai Remaja Dunia dalam kategori perseorangan perempuan.
Beliau menewaskan rakan senegara Lee Ying Ying yang tiga tahun lebih tua daripadanya.
Bekas jurulatih Chong Wei itu berkata Goh perlu bekerja keras mulai sekarang untuk memburu emas dalam Olimpik.
“Tetapi dalam masa sama, Jin Wei juga kena berwaspada dengan tekanan mental mahupun fizikal.
“Kena seimbangkan dengan ketahanan badan agar tidak ditimpa perkara yang tidak diingini terutama kecederaan,” kata Rashid.