Sejak di dalam rahim, manusia yang berkomunikasi, berinteraksi, membelai dan mengasihi bayi tersebut sudah tentunya pasangan ibu dan bapa kandungannya sendiri. Justeru, hubungan intimasi anak bersama ibu dan bapanya amatlah penting untuk perkembangannya sepanjang tempoh tumbesaran.
Penulis jelas, rakyat Malaysia jarang membiasakan diri untuk mengamalkan perbuatan ‘memeluk’ sebagai amalan harian dalam berkeluarga. Sehingga pada suatu masa, anak itu sendiri akan menjadi malu untuk memeluk ibu dan bapanya kerana tidak pernah dibiasakan dengan budaya sebegitu.
Bukan tujuan penulis untuk menjadi berat sebelah, tetapi cuba lihat cara pasangan ibu bapa di barat menjaga dan mendidik anak mereka. Kucupan dan pelukan tidak pernah lekang, setiap masa diberikan kepada anak-anak dan sebagai hasilnya, anak itu lebih ‘cepat tangkap’ dengan ilmu kemandirian, asas kehidupan serta lebih harmoni jiwanya berbanding anak-anak yang dibiarkan sahaja tanpa perhatian. Ingat, akademik bukanlah segala-galanya.
Nampak remeh, namun ianya sangat berkesan untuk menyokong proses tumbesaran fizikal dan mental anak anda sejak dari peringkat awal umurnya. Jom lihat kelebihan yang akan diperolehi anak itu sendiri jika sering dipeluk dengan penuh kasih dan sayang oleh kedua ibu bapanya.
#1 IQ Anak Lebih Hebat
Pelukan adalah salah satu bentuk kasih sayang dan sokongan yang ditunjukkan. Berikan anak anda pelukan setiap hari. Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari terdorong untuk mempunyai kekuatan IQ lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.
#2 Kuatkan Kasih Sayang
Pabila anak itu dipeluk setiap hari terutamanya bagi seorang ibu, anak tersebut akan tahu dan lebih faham bahawa ibunya sangat menyayanginya. Kasih sayang yang dicurahkan melalui pelukan akan terus bercambah dan mampu menggalak tumbesaran yang positif dari segi fizikal dan mental anak itu.
#3 Mengurangkan Rasa Tertekan
Dia akan tahu kita sentiasa menjadi penyokong paling kuat. Anak akan sedar bahawa kita sentiasa ada jika dia kurang berjaya. Emosinya akan terbela.
#4 Meningkatkan Keyakinan Diri
Anak yang menerima pelukan ibu dan ayah akan lebih berkeyakinan dalam sebarang perkara yang ingin dilakukan.
#5 Meningkatkan Hormon Gembira
Pelukan kasih sayang mampu meningkatkan hormon gembira dalam diri anak. Anak yang gembira akan lebih mudah belajar dan seronok melalui detik pengalaman baru setiap hari malah, kurang meragam.
#6 Menguatkan Sistem Imunisasi
Bila anak tidak sihat, dia sangat perlukan pelukan kasih sayang daripada ibu dan ayah. Selain daripada makan ubat, pelukan juga mampu menjadi ubat paling mujarab dengan izin Allah.
#7 Merangsang Perkembangan Anak
Anak yang selalu dipeluk terutama bayi yang sedang melalui perkembangan pesat akan mudah belajar banyak perkara seperti cepat berjalan, bercakap dan bermacam lagi kebolehan.
#8 Mengawal Emosi Negatif
Biasanya anak yang cukup kasih sayang dan selalu dipeluk akan kurang meragam dan mudah mendengar cakap. Mereka juga akan lebih positif dan bijak menyesuaikan diri mengikut situasi.
Percayalah, segala aura negatif, rasa amarah, emosi tidak stabil yang sedang dilalui oleh ibu dan ayah juga boleh hilang apabila memeluk si cilik kesayangan. Bukankah pelukan itu adalah tanda kasih sayang yang mudah untuk ditonjolkan? Jadi, biasakan peluk anak-anak setiap hari!
Tip Bonus!
Paling penting, dalam mendidik anak-anak, jangan suka membeza-bezakan kebolehan anak dengan orang lain.
Meskipun anda berhak berkata apa sahaja sebagai seorang ibu dan bapa, namun hati anak juga mudah terguris seperti mana anda terguris jika mereka mengatakan sesuatu yang menyakiti hati anda. Mereka turut mempunyai hati dan hak untuk diterima sebagaimana seorang individu yang tidak sempurna. Ingat, anda tidak selalunya betul.
Kata-kata sinis anda yang sepatutnya diterima sebagai teguran dan cabaran olehnya akan menjadi sia-sia sahaja kerana anak itu akan berasa yang anda tidak tahu menghargai mereka seterusnya tertekan. Jadi, hati-hati dalam menyusun kata apabila mahu berkomunikasi dengan anak.
Sesungguhnya, anda adalah cerminan kepada anak anda. Bagaimana anda melayan mereka, begitulah juga mereka akan melayan anda kerana anak-anak akan belajar dari perbuatan dan cara hidup kita secara keseluruhan. Jika lembut bicara anda, lembutlah juga tutur bahasa mereka. Jika kasar cara anda melayan mereka, maka kasarlah juga cara mereka melayan anda dan orang disekeliling mereka. Peluk anak-anak anda hari ini sebelum terlambat.