Seorang remaja lelaki mendakwa mahu menumpang solat di sebuah bilik hotel yang dihuni teman wanitanya, apabila diserbu penguatkuasa agama Hulu Langat.
Harian Metro melaporkan pasangan remaja berusia 18 tahun itu ditahan jam 1.45 pagi semalam selepas didapati berdua-duaan di dalam bilik hotel bajet di Jalan Raja Haroun, di sini.
“Betul, saya tidak sentuh dia… Jika tak percaya boleh bawa dia lakukan pemeriksaan di hospital,” dakwa remaja tersebut selepas ditahan, merujuk kepada pasangannya.
“Saya baru masuk sekejap untuk solat. Memang tak buat apa-apa,” tambahnya.
Menurut sumber, bilik berkenaan terpaksa dibuka menggunakan kunci pendua kerana pasangan berkenaan enggan membuka pintu.
“Sebaik dibuka, remaja lelaki itu didapati memakai baju dalam keadaan terbalik dan duduk di atas katil bersama seorang remaja perempuan.
“Remaja lelaki itu memberi alasan menyewa bilik hotel berkenaan selepas usaha menghantar pulang teman wanitanya ke rumah ibu saudara di Hulu Langat gagal,” kata sumber dalam laporan itu.
Remaja lelaki tersebut juga mendakwa berasal dari Kelantan dan baru tiba ke Kajang, namun menurut semakan MyKad, kedua-dua remaja terbabit berasal dari daerah di tempat kejadian.