Seagung bait lirik lagu-lagu klasik, reka bentuk serta cetakan kulit album juga sedikit sebanyak menjadi titik utama yang menarik perhatian para peminat muzik seantero dunia.
Selari dengan tema The Cooler Lumpur Festival 2016 RE: Independence, re:cover bakal mengetengahkan sebuah projek atas nama karya seni yang bakal menghubungan idealogi serta pemikiran tentang kulit album yang kian berubah mengikut peraliran zaman serta cita rasa muzik yang kian ekstrem.
Tidak seperti dahulu di mana kulit album adalah titik pandang utama yang menghubungkan minat seseorang terhadap muzik dengan penyanyi, namun kini kulit album hanyalah sekadar gambar kecil yang mucul di skrin paparan telefon pintar mahupun gajet lain kala lagu pilihan dimainkan. Ternyata, kulit album dahulu adalah lebih menarik, unik serta bersifat ikonik dan mudah diingati.
Pasti anda semua ingat lagi kulit album milik band The Beatles’ Abbey Road dan Nirvana’s Nevermind bukan?
Sehingga kini, ramai pengumpul barangan antik dan para peminat muzik klasik rela berhabis banyak untuk memiliki album piring hitam yang bukan sahaja menarik dari segi isi lagunya yang lunak malah kerana kulit albumnya juga dihiasi grafik-grafik menawan yang bersifat vintaj dan tersendiri.
Untuk itu, re:cover akan cuba memberi pencerahan serta membangkitkan cara bagaimana kita semua sebagai peminat muzik dapat menilai serta melihat album dari sudut baru.
Antara artis jemputan yang akan hadir untuk membincangkan isu ini adalah Olivia Ariferiani dan faridz Husaini.
Ayuh sertai mereka untuk mendalami seni artistik yang bakal memberi sensasi sinergi muzik serta kreativiti, akan berlangsung selama dua hari dari 10 hingga 11 September 2016 bertempat di Map@White Box, Publika.
Beberapa kulit album piring hitam ikonik asli juga akan dijual pada hari itu, Ayuh! Jangan ketinggalan untuk mendapatkan kulit album ikonik edisi terhad yang mungkin menjadi simpanan paling berharga yang pernah anda miliki.
Sila layari www.coolerlumpur.com/reindependence untuk keterangan lanjut.