Pernah menghadiri acara-acara keramaian yang dilangsungkan di hotel, tempat-tempat berkelas mahupun di restoran mewah bertaraf lima bintang? Penulis jelas, ramai di antara kita yang masih belum faham dengan tata cara betul ketika berada di meja makan, bahkan ada juga jenis individu yang langsung tidak peduli untuk mengamalkan etika yang sebaiknya ketika menjamu selera.
Di sekolah, jika anda seorang pelajar Ekonomi Rumah Tangga untuk mata pelajaran Kemahiran Hidup, anda pasti telah didedahkan serba sedikit tentang “table etiquette” bukan? Penulis juga gemar memerhatikan cara makan seseorang kerana ia bisa menggambarkan personaliti seseorang. Ada yang cara makannya ‘bersepah’, ada yang terlalu rapi, tidak kurang juga dengan mereka yang sering tersilap menggunakan kutleri ketika menikmati satu-satu hidangan.
Justeru, di sini Wanista ajarkan anda bagaimanakah tertib paling sempurna yang boleh anda pratikkan ketika berada di meja makan terutama di majlis makan formal.
Lakukan:
#1 Sebaik duduk, lipatkan napkin kepada bentuk segitiga dan letakkan ia di atas riba anda. Gunakan napkin untuk mengelap sisa comot pada bibir mahupun tangan anda. Sebelum meninggalkan tempat makan nanti, jangan lupa letakkan napkin di atas kerusi mahupun boleh juga diletakkan di sebelah kiri pinggan anda.
#2 Ketika menikmati makanan berdaging yang memerlukan anda menggunakan garfu dan pisau makan, pastikan anda menggenggam pisau (di tangan kanan) dan garfu (di tangan kiri) sementara jari telunjuk berada di atas badan kutleri dan ibu jari dibawahnya.
#3 Anda dibolehkan untuk meletakkan kutleri di atas pinggan pada posisi “pause” sementara mengunyah makanan yang penuh di dalam mulut. Tetapi, jangan pula anda lupa untuk letakkan kutleri di bahagian sisi pinggan pada posisi menyenget setelah selesai makan.
#4 Jika makanan yang dihidang kepada anda tidak menepati cita rasa yang positif (tidak sedap), dengan ihsan, makanlah sedikit hidangan tersebut supaya anda tidak dianggap sombong atau ‘kurang ajar’. Jika anda tidak mahu makan sekalipun, potong dan alihkan makanan tersebut di dalam pinggan agar ianya kelihatan terusik.
#5 Ingat! Jangan kelihatan terlalu ‘kampung’. Meskipun hidangan itu terlalu lazat, jangan sekali-kali menikmati hidangan sehingga pinggan licin. Tingalkan sedikit sisa supaya anda tidak dianggap kemaruk seperti orang yang sudah setahun tidak makan.
#6 Anda boleh nikmati manisan dengan kedua-dua sudu dan garfu atau garfu sahaja untuk manisan jenis pastri mahupun kek.
#7 Jangan pening jika terlalu banyak kutleri yang terbentang di hadapan anda kerana anda boleh mula menggunakan kutleri dari susunan ‘luar ke dalam’. Ingat! Setiap kutleri yang telah digunakan tidak boleh diletakkan di atas meja untuk digunakan semula.
#8 Sebelum meninggalkan meja ketika meja masih dipenuhi para tetamu lain, pastikan anda mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah atau orang yang menganjurkan majlis makan tersebut terlebih dahulu sebelum beredar.
#9 Ada baiknya jika tetamu lelaki berdiri jika salah seorang tetamu perempuan mahu beredar dari meja makan dan ketika kembalinya tetamu perempuan itu di meja makan.
#10 Ketika menikmati hidang berkuah seperti sup, ceduk sup menggunakan sudu sup (bentuknya sedikit bulat berbanding sudu makan biasa) dari dalam ke luar dan bukannya dari luar ke dalam seperti menceduk hidungan berkuah yang lain.
Selamat beramal!