Seorang lelaki warga Belgium dilaporkan hilang ketika menyertai larian International Hash Challenge ke-9 di ladang getah Rasa di sini.
Thomas Cools, 34, gagal muncul di garisan penamat berhampiran Sekolah Rendah (SK) Lembah Beringin selepas perlumbaan itu tamat pada jam 7.30 malam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, berkata penganjur pertandingan dan peserta lain pada mulanya cuba mencari mangsa namun gagal sebelum melaporkan perkara itu kepada polis, semalam.
“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat daripada pihak polis berhubung perkara itu pada jam 6 petang.
“Operasi mencari dimulakan di tempat kali terakhir mangsa dilihat dan pencarian berjalan sehingga jam 8.30 malam sebelum dihentikan kerana keadaan gelap,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramanian, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan usaha mencari dan menyelamat mangsa akan disambung semula 8 pagi ini.
International Hash Challenge adalah larian merentas hutan tropika sejauh 42 kilometer meliputi beberapa kawasan di Rasa, Kuala Kubu Bharu dan Kerling anjuran Petaling Hash House Harriers.