Perunding kesihatan, pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahri menasihatkan individu yang mahu membina otot dengan penggambilan steroid supaya berfikir panjang sebelum menggunakannya.
Kevin, 38, berkata, penggunaan steroid bukan merupakan jalan terbaik dalam mendapatkan badan yang cantik kerana ia akan memberi kesan yang teruk kepada seseorang individu itu dalam masa yang panjang.
“Ia memang merupakan jalan ringkas untuk mendapatkan tubuh badan yang cantik dengan penggambilan steroid tetapi perlu diingatkan ia akan memberi kesan yang teruk kepada badan untuk masa panjang.
“Jangan fokus kepada jangka masa yang pendek sahaja tetapi cuba untuk fokus kepada jangka masa yang panjang untuk mendapatkan badan yang cantik tanpa menggunakan steroid,” katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kesan yang akan dihadapi oleh penggunaan steroid Kevin berkata individu terbabit akan menghadapi kemandulan, rambut gugur dan kanser.
“Sekarang mereka masih muda dan tidak berfikir panjang mengenai kesan buruk yang bakal dihadapi kerana mereka cuma ingin cepat untuk mendapatkan badan yang cantik.
“Ambil masa untuk membuat badan kerana ia tidak berbaloi dengan risiko yang bakal dihadapi dalam masa panjang nanti,” jelasnya lagi.