“Mentadak, mentadu, macam mana abang tidur?”
Rangkap di atas mungkin adalah lagu pendek yang sering dinyanyikan kepada mentadak kerana dipercayai serangga unik itu boleh meniru cara seseorang tidur.
Apa yang anda tahu apabila orang menyebut tentang mentadak? Mungkin anda akan terfikir bahawa mentadak adalah sejenis serangga pemakan serangga lain yang badannya menyerupai lidi dan bisa ‘menari’ apabila diacah oleh objek yang berada dihadapannya.
Serangga yang bijak menyamar ini sering menyorok di dahan dan ranting pokok bagi menunggu mangsanya untuk muncul berdekatan kerana lazimnya mentadak biasa memiliki ciri fizikal persis ranting pokok dan dedaun yang berwarna gelap mahupun hijau muda. Tetapi, lain pula dengan sejenis mentadak unik berwarna-warni ini.
“Orchid Mantis” atau nama saintifiknya Hymenopus Coronatus adalah serangga yang berada dalam kumpulan spesis mentadak. Ia mempunyai ciri fizikal seperti kelopak bunga orkid dan selalunya ditemui dalam pelbagai warna menonjol termasuklah merah jambu dan putih.
Apa yang membuatkan Mentadak Orkid ini unik adalah kedua pasang kakinya menyerupai kelopak bunga.
Untuk pengetahuan anda, pada kelahiran awal mentadak istimewa ini, rupanya adalah seperti semut di mana badannya berwarna merah manakala kakinya pula berwarna hitam.
Namun begitu, setelah beberapa ketika apabila umurnya menjangkau 2 tempoh larva pada peringkat “instar”, barulah keseluruhan tubuhnya akan bertukar menjadi warna putih seterusnya kepada warna penentuan akhir sama ada putih atau pun merah jambu.
Mentadak Orkid jantan biasanya akan mempunyai gegelang leher yang berwarna coklat keungguan manakala betina pula berwarna hijau.
Jelas seorang pengkaji, serangga yang bakal menjadi mangsa Mentadak Orkid beranggapan bahawa bunga yang mempunyai banyak warna cenderung untuk mengandungi lebih banyak nektar (madu bunga) dan oleh sebab yang demikian, banyak yang akan terpikat untuk pergi kepada mentadak tersebut berbanding kelopak bunga sebenar.
Setiap satu kumpulan telur (oothecare) akan melahirkan sebanyak 50 hingga 100 ekor anak mentadak yang akan menetas dalam masa 5 hingga 6 minggu. Bahkan, kebanyakkan Mentadak Orkidemmpunyai kitaran hidup dalam masa lima hingga enam bulan sahaja.
Mentadak Orkid yang telah meningkat remaja (nymphs) akan memakan serangga-serangga kecil manakala mentadak yang telah cukup dewasa pula akan menangkap apa sahaja serangga besar lain termasuklah cicak, serangga bersayap seperti kupu-kupu mahupun lebah. Kadang-kala ia juga bisa memakan buah pisang.
Klik Pada Gambar Untuk Lihat Paparan Penuh
Tonton Video Orchid Mantis