Kecewa dengan prestasi Kelantan, jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berhasrat menghentikan tajaan kepada pasukan bola sepak itu lebih awal.
Pengasas “Qu Puteh” yang juga disapa Vida berkata, dengan prestasi tidak memberangsangkan, hasil jualan syarikatnya juga turut menerima tempias.
“Hati saya sebenarnya sudah retak, tiada lagi rasa bahang macam awal musim dulu.
“Saya amat kecewa dengan prestasi Kelantan yang saya rasakan tidak berbaloi dengan pelaburan besar saya.
“Saya orang bisnes, sudah tentu saya amat terkesan kerana prestasi hambar pasukan sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap produk saya,” katanya seperti dilaporkan portal mStar.
Kelantan berada di kedudukan keempat dalam saingan Liga Super dengan memungut 28 mata di belakang Johor Darul Ta’zim (55), Felda United (43) dan Kedah (37).
Pasukan The Red Warrior juga berada di kedudukan kedua dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia memungut 10 mata di belakang Selangor dengan 11 mata.
Turut berada dalam kumpulan sama Pahang dengan 9 mata dan Kuala Lumpur dengan empat mata.
Hasmiza, 44, berkata selain kecewa dengan prestasi Kelantan, peminat pasukan itu juga tidak memberikan sokongan sewajarnya.
“Setiap kali saya taja mana-mana program, ia beri impak positif dari segi jualan dan saya boleh teruskan tajaan.
“Tetapi berlainan pula dengan bola, nama naik tapi dari segi pembelian produk tidak ada. Saya sudah hasilkan jersi mengikut harga mampu milik tapi penyokong lebih suka beli jersi ciplak.
“Saya keluarkan pula air tin berharga RM4.80 tapi penjualan masih perlahan. Oleh itu, ia melemahkan semangat saya untuk teruskan tajaan,” beliau dilaporkan berkata.