Kakak Datuk Siti Bernikah Lagi

Kakak kepada penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, Saida Tarudin,40, selamat dinikahkan dengan pasangannya semalam.

Saida melangsungkan pernikahan dengan cinta hatinya, Apit atau nama sebenarnya Hafiizh Che Mat,36 yang aktif dengan kerja-kerja di belakang tabir.

Dengan sekali lafaz, pasangan sah menjadi suami isteri selepas dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Norhafizi Ab Rahim di Masjid Al Muklisin, Alam Damai Cheras, di sini pada jam 2.40 petang.

Saida menerima tiga dulang hantaran dan dibalas lima dulang dan menerima mas kahwin sebanyak RM80 berserta wang hantaran RM10,000 daripada Hafiizh.

Kedua-duanya menggayakan busana rekaan KS Entourage dan didandan jurusolek terkenal, Epie Temerloh.

Majlis tersebut diadakan secara sederhana dan tertutup membabitkan ahli keluarga serta sanak saudara dan kawan terdekat sahaja.

Saida menerusi kenyataan media memohon maaf kerana majlis diadakan tanpa kehadiran pihak media atas sebab yang terlalu peribadi.

“Atas permintaan keluarga termasuk anak saya sendiri, majlis ini diadakan tanpa teman media. Benar memang terlalu ramai pihak yang perlu dijaga perasaan mereka. Apatah lagi, ia perkahwinan kedua bagi saya dan suami.

“Saya dengan penuh kerendahan hati bersama ahli keluarga lain memohon maaf di atas kesulitan ini.

“Saya menyedari hal yang baik ini memang perlu dikongsi. Apa-apa pun saya berharap, semua pihak dapat mendoakan kebahagiaan saya dan suami. Ketika ini kita selesaikan dahulu majlis nikah. Soal ke depan, insya-ALLAH akan diadakan majlis persandingan,” kata Saida yang mengenali suaminya sejak empat tahun lalu.

Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah. Apit juga mempunyai dua orang anak menerusi perkahwinan terdahulu.

Saida mula menempa nama dalam industri hiburan tanah air apabila menyertai program realiti Akademi Fantasia musim keenam.

Related Posts