Terlalu banyak perkara yang harus dititik-beratkan ketika melancong bersama keluarga, terutama sekali apabila membawa sekali si cilik anda yang kadang-kala anginnya tidak menentu itu. Mesti mencabar kan?
Ada jenis kanak-kanak yang langsung tidak hairan dengan keputusan ibu bapa mereka. Jika mereka jenis menurut sahaja, baguslah. Mudah segala urusan si ibu dan ayah. Namun, jika anak anda adalah jenis yang terlalu bijak dan sering menyoal akan soalan-soalan yang di luar kotak, naya pula hendak menjawab. Ini kerana mereka punyai perasaan ingin tahu yang sangat tinggi. Sebagai pasangan ibu bapa yang terbaik, anda haruslah menjawab segala persoalan anak anda biarpun kadang-kala soalan yang diajukan itu seperti tidak masuk akal. Jika persoalan mereka tidak disuap dengan jawapan yang boleh memuaskan hati mereka, takut mereka berasa bosan pula.
Oleh itu, di sini Wanista kongsikan bersama dengan anda 7 cara bernas yang boleh anda lakukan bagi mewujudkan sebuah suasana percutian yang mengujakan di samping mengajar mereka ilmu-ilmu baru yang pastinya sangat membina. Semua ni ringkas sahaja. Jom aplikasikan!
#1 Selitkan Pelajaran Kemahiran Hidup
Jangan biar anak anda diejek sebagai ‘pengecut’! Ketika melanconglah anda boleh bina kekuatan dan kecekalan hati mereka. Ajar bagaimana caranya untuk menentukan jenis-jenis makanan dan minuman yang halal dan haram. Ajar mereka cara untuk mempertahankan diri apabila diserang oleh orang yang tidak dikenali. Ajar mereka bagaimana langkah terbaik untuk mencari jalan pulang apabila telah tersesat di tempat asing. Ajar mereka untuk beramah-mesra dengan orang sekeliling. Ajar mereka cara membeli barangan runcit dari kedai-kedai serbaneka yang ada. Ajar mereka cara untuk mengira dan menukar Ringgit Malaysia kepada mata wang asing.
Lihat, banyak sebenarnya pelajaran kemahiran hidup yang boleh anda tanamkan dalam diri anak anda ketika melancong. Barulah lebih bermakna!
#2 Galak Anak Belajar Bahasa Negara lain
Adalah bonus kalau seseorang pelancong tahu memanfaatkan bahasa tempatan! Bukanlah suruh anak anda menjadi fasih, asalkan dia tahu bertanya arah, meminta pertolongan, bertanyakan harga untuk tawar-menawar, mengucapkan selamat dan terima kasih iaitu merangkumi asas bahasa negara yang dilawati, itu pun sudah memadai.
Ini juga merupakan salah satu pelajaran kemahiran hidup untuk elak ditipu ketika melancong. Bernas kan?
#3 Ilmu Fotografi
Mengajar anak anda untuk menilai keindahan dan kecantikan melalui lensa kamera adalah sungguh kreatif. Selain dapat mempelajari teknik-tekinik fotografi secara mekanikal, secara tidak langsung dia dapat melihat sesuatu benda dari pelbagai aspek lain selain dari sudut kecantikan semata. Contohnya mereka dapat melihat dan mempelajari budaya orang, menghargai sejarah-sejarah lama dan banyak lagi.
Apabila mereka telah mula membiasakan diri, rasanya tidak salah andainya fotografi menjadi hobi kegemaran mereka. Semakin mereka menjadi mahir, semakin besarlah kemungkinan yang mereka boleh ‘buat duit’ secara sampingan dengan kemahiran fotografi mereka itu. Yay! Anak siapalah tu…
#4 Cara Membaca & Menggunakan Peta
Ha, tadikan dah belajar bahasa asas negara yang dilawati, sekarang tiba masanya untuk mengajar mereka cara untuk membaca dan menggunakan peta pula!
Asam garam ketika berada di negara orang, kita pasti berisiko untuk tersesat jalan dek kerana berada di tempat yang kita tidak biasa. Dari menggunakan GPS, ada baiknya juga anda mengajar anak anda teknik manual untuk sampai ke destinasi yang dituju.
Sekurang-kurangnya, mereka akan faham dan boleh gunakan pelajaran itu apabila mereka meningkat dewasa kelak. Alang-alang mereka boleh menjadi individu yang berdikari. Dalam masa yang sama, ini juga adalah salah satu medium penyelesaian masalah seperti para guru di sekolah sering galakkan kepada pelajar-pelajar mereka. Bila dah sesat, jangan panik sebab peta kan ada 🙂
#5 Rangsang Perasaan Ingin Tahu
Menyuruh anak anda menghabiskan masa satu hingga dua jam untuk duduk di hadapan kaca televisyen menonton rancangan dokumentari National Geographic sahaja tidak cukup untuk merangsang perasaan ingin tahu mereka. Masa yang terbaik untuk membuka minda dan mata mereka adalah ketika melancong.
Bawa mereka pergi menjelajah ke tempat-tempat baru, melawat muzium luar negara, pergi ke zoo atau taman botani supaya mereka boleh melihat, mendengar sekaligus menyentuh sendiri dengan tangan mereka barulah sempurna.
Seperti yang kita semua tahu, kanak-kanak perlu berhubung dengan sesuatu objek untuk memahami isi dan sifat sesuatu benda. Waktu bermain juga adalah salah satu medium yang terbaik untuk mendedahkan mereka dengan perkara-perkara baru.
Apabila mereka melihat sesuatu yang unik, yang tidak pernah dilihat, didengar atau disentuh dirinya sebelum ini, pasti ia akan merangsang perasaan ingin tahu mereka -bertanyakan soalan untuk benar-benar mengetahui tentang sesuatu perkara tersebut. “They get to learn something new every seconds while travelling” 🙂
#6 Ajar Anak Cara Membuat Perancangan
Sebelum pergi bercuti, si ibu dan ayah pasti gigih membuat segala perancangan agar percutian idaman menjadi lancar sehingga ke hari yang terakhir. Namun kini, apa kata anda ajak anak-anak anda sekali untuk memerah otak membuat perancangan. Sekurang-kurangnya mereka akan terbiasa dan mula belajar untuk menguruskan sesuatu dengan cara yang paling strategik.
Tidak perlu beri tugasan yang susah, beri sahaja sehelai kertas dan pen kepada mereka untuk mereka senaraikan item penting yang perlu dibawa untuk pengembaraan anda sekeluarga.
Akhir sekali, secara ringkas, anda suami isteri boleh bentangkan secara ringkas jadual perjalanan merangkumi tempat-tempat yang bakal dilawati, sejarah negara atau bandar tersebut, lokasi penginapan, masa bertolak dan sebagainya.
Sebelum bertolak, suruh mereka semak kembali barangan yang dibawa merujuk kepada senarai checklist yang mereka sediakan tempoh hari. Pantau anak-anak anda supaya semuanya lengkap dibawa bersama okay?
Selamat bercuti dan berseronok bersama keluarga tercinta!