Pameran jam tangan serta barang kemas mewah terkemuka di Malaysia, A Journey Through Time X dengan bangganya menyambut legasi serta warisan asli Malaysia menerusi beberapa jenama dan rekaan pereka kelahiran tanah air yang artistik.
Bakal berlangsung dari 4 hingga 13 November 2016 di Starhill Gallery, Bukit Bintang dengan tema ‘Legasi dan Ikon’, selain mempamerkan jam tangan mewah serta barang kemas dari jenama-jenama tersohor seluruh dunia, fabrik tradisi tenunan songket juga diberi keutamaan.
Sejak 2007, A Journey Through Time X telah berjaya menyebarkan rasa cinta dan minat berkenaan kehalusan pertukangan jam tangan dan warisannya. Pameran yang diadakan di Starhill Gallery semakin mendapat tempat di hati pengujung serta para peminat dan pengumpul jam tangan luar dan dalam negara dan pada saat itu jugalah, barang kemas mewah turut memainkan peranan yang penting dalam pameran seumpamanya. Antara jenama barang kemas mewah yang terlibat rata-ratanya adalah dari Eropah, Amerika dan serata Asia.
Lebih membanggakan, tahun ini pembuat jam tangan mewah tanah air, MASA Horlogerie dapat ikut serta dalam acara gilang-gemilang A Journey Through Time X seterusnya memberi peluang jenama itu untuk muncul dalam pameran di peringkat antarabangsa.
Penggemar jam tangan berpeluang menyaksikan buat pertama kalinya hasil pertukangan jam tangan mewah yang belum pernah dilihat di Asia sebelum ini. Manakala pencinta barangan kemas pula dapat melihat batu-batu permata yang sukar ditemui dan hasil kerja pembuat barangan kemas yang telah memenangi pelbagai anugerah.
Tidak ketinggalan, pereka-pereka fesyen terkemuka tempatan dan antarabangsa akan bekerjasama dengan pembuat jam tangan dan barangan kemas ternama di dalam persembahan dan pameran. Sementara itu Starhill Gallery’s Feast Village akan menyediakan pelbagai sajian enak sesuai dengan konsep citarasa A Journey Through Time X.
A Journey Through Time X ini dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, lebih inklusif dan terbuka kepada umum bagi menggalakkan pengumpul dan peminat muda lebih menghargai dan membeli jam tangan serta barangan kemas mewah di Starhill Gallery.
Untuk keterangan lanjut, sila layari www.ajourneythroughtime.com.my atau lawat laman Facebook rasmi A Journey Through Time X di www.facebook.com/starhillgallery