Personaliti, daya kreatif, ketangkasan, ilmu memasak serta jati diri yang tenguh adalah elemen yang sangat penting untuk dimiliki seorang chef selebriti di samping minat yang mendalam terhadap bidang memasak itu sendiri. Bukan mudah untuk menstabilkan kesemua elemen tersebut demi menarik hati penonton yang melihat sekaligus mencuba resepi hidangan yang dikongsikan di kaca televisyen.
Khamis lepas bertempat di The White Rabbit Singapore, seramai empat orang peserta akhir untuk pertandingan memasak Food Hero Asia anjuran Food Network dan saluran Asian Food Channel (AFC) bertempur bagi merebut gelaran sebagai chef selebriti Asia paling mahsyur. Antara finalis yang terlibat adalah Farris Danial Abdul Rahman (Malaysia), Koh Kay Kim (Malaysia), Pattaya Benjavari (Thailand) dan Anton Amoncio (Filipina).
Setelah hampir lima minggu menjalani pelbagai sesi cabaran dan ujian yang bukan sahaja memfokuskan kepada masakan, kebijaksanaan peserta untuk berinteraksi bersama penonton melalui lensa kamera juga diambil kira sebelum hanya empat orang peserta terbaik sahaja dipilih bagi melayakkan diri ke peringkat finale Food Hero Asia musim yang ke-3 ini.
Sebagai imbuhan kemenangan, jaguh Food Hero Asia musim ini akan diserap oleh Scipps Networks Interactive sebagai bakat terbaharu untuk dua buah saluran dibawahnya iaitu Asian Food Channel(AFC) dan Food Network.
Sekalung tahniah buat wakil dari Filipina, Anton Amoncio kerana berjaya menjuarai Food Hero musim ke-3! Seorang jejaka bujang yang penuh dengan sifat rendah diri ini baharu sahaja berusia 27 bahkan sudah memiliki restoran sendiri sebelum kemuculannya dalam siri pencarian chef selebriti Food Hero.
Menurut Anton, “Saya begitu teruja kerana dipilih sebagai juara untuk Food Hero musim ini meskipun bersaing dengan calon-calon yang hebat kerana setiap seorang dari mereka semuanya mempunyai ciri estetika yang tesendiri dalam masakan.”
“Namun begitu telah banyak pengalaman dan ilmu yang saya kumpul sepanjang berada dalam pertadingan Food Hero 2016 ini dan sudah pasti saya akan meneruskan impian bagi berkongsi intipati yang bukan sahaja berkenaan makanan semata-mata malah nilai yang dimiliki oleh sesebuah hidangan yang disediakan secara terperinci. Ini adalah pengalaman berharga yang saya akan ingat sampai bila-bila dan saya tidak malu untuk berkongsi mengenainya bersama anak dan cucu saya di masa akan datang”, tambahnya.
Hidangan utama yang disediakan pada acara kemuncak Food Hero 2016 adalah berasaskan daging lembu dan daging kambing tajaan pengedar daging segar terkemuka Pure South New Zealand.
Anton menerapkan bakatnya ke dalam hidangan daging kambing istimewa yang digelar Cheesy Lamb Rack Kaldereta iaitu sebuah hidangan elegen mengabungkan citarasa unik serta seimbang.
Untuk keterangan lanjut, sila layari www.foodhero.asia