Enam rumah di Jalan Bendahara musnah dalam kebakaran, 5.36 petang tadi, dipercayai dibakar seorang penyewa selepas berselisih faham dengan isterinya.
Pemilik rumah berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Lim, 36, berkata, dia sudah menyewakan rumahnya itu kepada suami isteri bersama tiga anak sejak tujuh tahun lalu.
Katanya, kira-kira 5 petang semalam, dia dikejutkan dengan dengan panggilan isteri penyewa berkenaan yang memberitahu suaminya ingin membakar rumah selepas dipercayai bergaduh.
“Isteri penyewa menelefon saya memberitahu sejak dua tiga hari ini mereka sering bergaduh dan meminta saya datang ke rumah kerana suaminya sedang membakar rumah.
“Saya memintanya menelefon polis sementara saya bergegas ke rumah itu dan sebaik tiba rumah saya bersama lima lagi rumah sudah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, sumber berkata, isteri serta tiga anak mereka sudah membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh dan polis sedang mengesan lelaki berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.