Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan hari ulang tahun keputeraan baginda diraikan pada hari Jumaat, minggu pertama bulan November setiap tahun, bermula tahun ini. Titah baginda itu diumumkan melalui kenyataan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan di sini, hari ini.
“Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak adalah dengan ini ingin memaklumkan berkaitan titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah setelah dipertimbangkan dengan teliti dan dengan persetujuan Majlis Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-164 yang bersidang pada 20 November 2015, bahawa tarikh perayaan Ulang Tahun Baginda mulai tahun 2016 dan tahun-tahun seterusnya hendaklah diraikan pada Jumaat minggu pertama bulan November.
“Perkara ini sudah diambil tindakan semasa pewartaan Hari-Hari Kelepasan Am Negeri Perak bagi tahun 2016 melalui pemberitahuan Warta Kerajaan No 3653 bertarikh 31 Disember 2015.
“Sehubungan itu, merujuk kepada warta berkenaan adalah dimaklumkan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada tahun 2016 adalah pada 4 November 2016,” katanya dalam kenyataan itu.