Al maklumlah, zaman sekarang ni dah terlampau banyak pilihan fesyen, jadi rambang matalah juga bila tang nak membeli pakaian. Yang jenis perempuan memang suka melaram tu tak kisahlah kan sebab ada yang sanggup menggeluarkan bajet setiap kali ada undangan perkahwinan. Sanggup beli baju baru, kasut baru, aksesori baru. Tapi, buat individu yang tak rela hendak keluarkan bajet macam mana pula ye?
Ha, itu satu hal, hal yang lagi satu adalah ramai yang merasakan perkara paling rumit adalah apabila hendak mencari pakaian yang sesuai untuk ke majlis-majlis keramaian terutamanya ke resepsi perkahwinan. Bosan dengan baju kurung mahupun jubah? Nah Wanista beri idea pakaian yang macam mana untuk disarungkan ke kenduri kahwin, jauh dari norma biasa. Yang paling penting sekali, mestilah akan nampak cantik 🙂
#1 KONTEMPORARI: Inspirasi Dari Alam
Apa salahnya lari dari kebiasaan. Sarungkan blaus berperincian ropol yang diperbuat dari fabrik chiffon digandingkan pula bersama kain atau pareo bercorak batik. Sematkan kerongsang bersaiz menonjol pada bahagian sisi selendang yang polos agar tampak lebih mengancam. Oleh kerana baju yang sudah terlalu berat dengan perincian serta corak, cukup sekadar anda menggayakan cincin yang ringkas sebegitu. Kasut dan beg kepit haruslah senada dan semestinya calitan solekan yang bersahaja sudah memadai untuk buat anda kelihatan manis seperti tetamu bidadari datang dari langit!
#2 GLAMOR MEWAH: Inspirasi Dari Pantai
Rona emerald sememangnya anggun apabila digayakan dengan hitam. Oleh itu, tampil dengan gaya glamor ini kala menghadiri majlis resepsi perkahwinan bergemalapan di hotel setanding gaya seorang VVIP. Ringkas dan kemas, cukup sekadar gandingan skirt labuh berpotongan ‘A’ serta blaus kimono dari fabrik satin. Sebagai pelengkap gaya, sarungkan sepatu stiletto rona batu zamrud bersama sebahagian aksesori cincin mahupun subang mutiara untuk yang tidak bertudung. Tambahkan sedikit bayangan warna merah jambu pada pin yang anda sematkan pada sisi selendang buat yang bertudung supaya menyerlah! Oh! Jangan lupa beg genit yang ranggi untuk memuatkan keperluan penting. YOU ARE GOOD TO GO NOW!
#3 TREND POMPOM: Inspirasi Dari Gaya Bohemian
Selalu sangat pakai jubah labuh untuk ke kenduri kahwin? Boleh cuba gayakan kaftan ala kardigan ini. Gayakan sekali celana palazzo untuk memberi impak yang lebih ‘umphhh’ pada gaya bohemian anda itu. Sisipkan elemen ceria pompom ke dalam pemakaian anda kerana tahun 2016 memang hit dengan kemunculan semula gaya perhiasan pompom sebegini. Aksesori serta solekan mata yang dramatik pula mungkin membantu agar anda kelihatan seperti Barbie!
#4 TRADISI KERAWANG: Inspirasi Dari Agra
Siapa kata pergi kenduri kahwin tetamu tidak boleh memakai seluar. Boleh, asalkan ia masih sopan seperti memakai seluar berpotongan longgar dan flare sebegini (akan kelihatan seperti kain/skirt ketika berjalan). Kita curi sikit inspirasi dari India, gayakan seluar tersebut dengan tunic berperincian motif kerawang warna-warni. Anggun juga meskipun ringkas. Dan! Jangan lupa solekan eyeliner untuk menaikan seri wajah yang buat orang tak berkelip pandang anda ala heroin Bollywood.
Sekali-sekala bergaya moden, barulah fashionista sebenar!