Seorang pengetua sekolah menengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan peralatan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65, awal tahun ini.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang, Norliza Mat Radzi didakwa mengikut Seksyen 23 (1), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, dengan menggunakan jawatannya, memilih syarikat Orean Collection miliknya, untuk membekalkan alat bantuan mengajar berjumlah RM2,061.65.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis sekolah berkenaan pada 12, 17 dan 19 Februari lalu. Tertuduh turut didakwa melakukan salah guna kuasa, menggunakan syarikat sama untuk membekalkan tuala kecil bagi program ‘Selamatkan Bumi Kita’ bernilai RM500 pada 30 Mac lalu.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan sama pada 13 April lalu menggunakan Orean Collection untuk membekalkan lima hamper, set fail dan alat tulis, medal perasmian serta dokumentasi bagi program Perkhemahan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) 2016 bernilai RM4,000.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) ASPRM 2009 iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi. Hakim Rozilah Salleh menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan 2 Disember sebagai tarikh sebutan semula.