Seorang wanita yang menggunakan khidmat perkongsian kereta GrabHitch trauma apabila pemandu lelaki yang ditumpanginya menunjukkan kemaluan.
Menceritakan gangguan seks itu di media sosial, wanita itu berkata ia berlaku semasa menumpang kereta Nissan Almera suspek ketika mahu ke sebuah pusat beli-belah di sini.
“Ketika kami memasuki lebuh raya, saya melihat lelaki itu mengeluarkan kemaluannya. Saya terasa macam apa dah jadi ini? Ketika itu saya berasa cemas.
“Nasib baik saya memegang kunci dan saya hanya mengabaikan (gangguannya). Saya hanya berfikir mahu cepat-cepat keluar dari kereta itu.
“Suspek terus bertanyakan soalan sangat peribadi tetapi saya sekadar buat tidak tahu dan berpura-pura tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Saya rasa macam sudah bersedia untuk menikamnya,” katanya di akaun Twitter @evonne127.
Grab Malaysia ketika dihubungi Malay Mail Online mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pemandu berkenaan sudah disingkirkan daripada aplikasi mereka.
“Kami benar-benar kesal pengalaman buruk yang mangsa hadapi dan kami berasa lega ia dimaklumkan kepada kami.
“Pasukan kami sedang menghubungi mangsa,” kata Jaygan Fu, ketua Grab Malaysia.
Grab Malaysia bagaimana pun tidak menyatakan sama ada tindakan pihak berkuasa akan dikenakan kepada suspek atau pun tidak.
Buat masa ini, mangsa telah memprivasikan akaun Twitter miliknya.