Rakyat Malaysia yang baru sahaja pulang dari India atau yang merancang ke negara itu, menghadapi masalah kerana pengurup wang tempatan telah membekukan dagangan mata wang India selepas New Delhi mengumumkan pemansuhan not Rs500 dan Rs1,000.
Pemantauan di beberapa outlet pengurup wang Jalan Masjid India dan di sekitar ibu negara mendapati ramai rakyat Malaysia serta pelancong India yang beratur di kaunter untuk menjual mata wang itu, berasa kecewa.
Satu daripada syarikat pengurup wang, Sky Xchange berkata, ia hanya boleh menasihatkan pelanggannya untuk menunggu pengumuman lanjut daripada kerajaan India.
Menurutnya, kaunter pengurup itu terpaksa mengetepikan lebih 20 pelanggan yang datang untuk menjual kedua-dua not itu sejak memulakan perniagaan hari ini.
Pada Selasa, Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan not Rs500 dan Rs1,000 sekarang ini tidak lagi laku mulai tengah malam kerana ia akan digantikan dengan not baharu Rs500 dan Rs2,000 mulai 10 November.
Langkah itu bertujuan membanteras rasuah serta pemegangan tunai secara haram dan orang ramai boleh menukar not lama untuk not baharu di bank dalam tempoh 50 hari.
Beberapa jam selepas pengumuman yang orang ramai mempunyai 50 hari untuk mendeposit not lama ke dalam akaun bank atau pejabat pos, not terlibat hampir tidak berguna untuk berbelanja.
Not lama masih boleh digunakan dalam tempoh tiga hari akan datang di tempat terpilih di India, termasuk hospital kerajaan, kaunter tiket kereta api, bas, syarikat penerbangan serta stesen gas.