“Saya tidak sangka kucing yang sudah dianggap seperti anak sendiri itu mati dalam keadaan menyedihkan.
“Tak tahu nak gambarkan perasaan ketika ini dan apa yang saya boleh katakan, semoga perbuatan ini mendapat pembalasan,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Chris Swit, 44, selepas lima kucing kesayangannya mati dipercayai akibat termakan makanan yang diletakkan racun kira-kira 8 pagi, semalam.
Ibu kepada dua anak itu berkata, ketika kejadian, dia di tempat kerjanya di Sri Aman, Sarawak sebelum dihubungi ibunya yang memaklumkan mengenai perkara itu.
“Saya terkejut dan segera pulang dan ketika sampai di rumah iaitu kira-kira 9 pagi saya mendapati empat kucing saya sudah mati manakala satu lagi berada dalam keadaan lemah dan mulut berbuih sebelum turut mati tidak lama kemudian.
“Saya juga mendapati dua lagi kucing hilang dan sehingga kini belum ditemui,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Sarawak.
Menurutnya, kejadian itu disedari ibunya ketika mahu memberi makanan kepada haiwan berkenaan kira-kira 8 pagi.
“Ibu memaklumkan ketika itu dia memanggil semua kucing berkenaan tetapi tidak muncul sebelum menjumpai empat bangkai kucing manakala satu kucing dalam keadaan tidak bermaya dan lemah sebelum turut mati tidak lama kemudian.
“Ibu berpendapat kemungkinan kucing berkenaan makan makanan di tempat lain yang diletakkan racun,” katanya.
Katanya, kucingnya yang mati itu sangat manja sehingga ada antaranya akan duduk di bahunya dan menyambutnya pulang dari tempat kerja pada setiap hari.
“Semua kucing yang mati itu adalah kucing biasa yang saya bela sejak kecil dan diberi nama Alfie,Oneng, Shumit,Comot dan Ikok.
“Sedih tidak terkata kerana semua kucing yang sudah saya bela lebih tiga tahun itu mati dalam keadaan cukup menyayat hati,” katanya.
Katanya, dia tidak mahu menyalahkan sesiapa sebaliknya berharap agar perbuatan berkenaan akan mendapat balasan setimpal.
“Saya tidak pasti siapa yang berbuat demikian. Perbuatan sebegini memang tidak berhati perut. Tergamak melakukan perbuatan kejam ini,” katanya.
Gambar insiden kematian kucing berkenaan turut viral selepas dimuat naik di Facebook miliknya.