“Kami berdua bercadang mahu mendaki hingga ke Bukit Bendera, namun selepas menyedari hari semakin gelap dan bimbang sesat, saya terus membuat panggilan kecemasan,” kata Sahrul Junianto Darmai, 14, yang terpaksa ‘menginap’ dalam hutan hampir enam jam bersama rakan sebayanya Mohd Aiman Mohd Amin, malam kelmarin.
Menurut pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bahang itu, dia dan Aiman pulang dari asrama kerana cuti hujung minggu dan singgah di rumah seorang lagi rakan mereka kerana mahu menunaikan solat.
“Selepas solat dan makan di rumah rakan, saya serta Aiman kemudian merancang untuk mendaki bermula dari Taman Rimba, Teluk Bahang menuju ke Bukit Bendera.
“Kami hanya membawa beg pakaian dan berselipar memulakan pendakian kira-kira jam 4 petang namun selepas hampir tiga jam cuaca semakin gelap menyebabkan kami terpaksa membuat panggilan kecemasan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahan Awam Daerah Timur Laut Leftenan (PA) Maxwell Panchai berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis yang mengatakan ada dua pelajar sesat jam 8 malam.
Menurutnya, seramai 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Timur Laut bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menemui dua pelajar terbabit jam 10 malam.