Penyanyi terkenal, Yuna menjelaskan isu kesan gigitan pada leher seperti yang dipersoalkan netizen pada sekeping gambar ketika dia menghadiri sebuah konsert di sini, baru-baru ini.
Enggan membiarkan netizen terus mencetuskan spekulasi, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai, 30, memberitahu kesan itu adalah gigitan labah-labah ketika dia mengadakan persembahan di Alabama, lima minggu lalu.
“Bukan saja di leher tetapi lengan, dahi dan hidung. Itu yang nampak lebam dan kesannya hinggalah sekarang.
“Janganlah sangka yang bukan-bukan,” jelas Yuna ketika ditemui pada majis sambutan ulang tahun pertama Yonder Music di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Beralih kepada kerjaya seni, penyanyi Malaysia yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS) itu memberitahu, video muzik single terbaharunya, Pulang mula ditayangkan di YouTube, esok.
Lagu yang mengisahkan sikap individu yang terlalu mengejar cita-cita sehingga mengabaikan ibu dan nilai persahabatan itu, dinyanyikan bersama rapper terkenal, SonaOne.