Baru putus cinta anda sudah nekad untuk mencemuh diri hingga ada yang berniat untuk bunuh diri? Atau mungkin lari ke tempat terpencil yang tiada sesiapa pun boleh menemui anda? Eh, ini bukan sinetron atau telenovela. Ini kehidupan sebenar dan kerana itu jugalah, anda perlu… move on!
Mesti anda selalu dengar perkataan ‘MOVE ON’ kan? Walau sesadis mana pun kisah cinta anda yang tidak menjadi itu, anda harus bangkit dari kesedihan bagi meneruskan perjalanan hidup yang masih tersisa. Pisahkan diri dari segala memori anda bersama si dia dan cubalah untuk melupakannya.
Wanista tahu, ia tidak semudah ABC tetapi percayalah, jika anda ikuti panduan yang disediakan ini secara tertib, anda akan lekas berasa lega lantas mampu menemui kebahagian hidup abadi.
Nak tahu cara terbaik untuk move on menurut si jelita Michelle Phan? Teruskan membaca.
Bagaimana untuk memulakan hidup baru selepas berpisah?
#1 Biarkan Ia Berlalu
Anda tidak akan dapat memulakan hidup baru selagi hati dan minda anda masih bertaut pada si dia. Mula untuk selongkar kembali kesemua barangan atau pemberian yang ada kena mengena dengan dirinya. Opss! Jangan buang barangan itu, sebaliknya agihkan ia untuk didermakan kepada yang memerlukan. Patung Beruang, Aksesori, Pakaian, Surat Cinta, Kad Ucapan, atau apa sahaja objek yang dapat mengingatkan anda kembali tentang BEKAS pasangan anda itu… Sila alihkannya.
Jangan lupa padamkan juga semua gambar si dia… dalam telefon pintar, dalam beg duit, foto-foto album serta gambar yang ada dalam akaun media sosial, padamkan semuanya kerana ‘dia’ tidak lagi berhak menghantui anda yang sedang dalam usaha memperbaiki keadaan diri ini. PADAM dan JANGAN TOLEH KE BELAKANG LAGI.
#2 Memaafkan
Andai seseorang telah melukai hatimu, cara terbaik untuk pulihkan luka tersebut adalah dengan memaafkan. Tidak selamanya anda boleh membawa amarah dan kesedihan itu dalam poket anda. Itu hanya akan menjadikan anda lebih bercelaru.
Tuliskan sepucuk surat untuk diri anda sendiri, nyatakan amarah anda dan segala isi hati anda di dalam surat tersebut dan sebagai penutup, katakanlah bahawasanya anda telah memaafkan kesalahannya biarpun hati anda remuk kerana perbuatannya. Kemaafan akan bantu anda bebas dari segala belenggu kekecewaan. Hidup hanya sekali 🙂 Hargai ruang dan masa yang ada.
#3 Tukar Keadaan Fizikal & Sekeliling
Satu lagi cara untuk meneruskan hidup adalah dengan menukar keadaan sekeliling agar ia bisa memberi nafas baru kepada kehidupan anda. Mungkin anda boleh tukar cadar tilam atau mengatur semula susunan perabot di dalam rumah. Tambahkan bau-bauan atau hiasan bunga hidup di atas meja makan, ia secara tidak langusng akan bantu anda untuk membina jiwa dan rasa yang baru.
Untuk diri pula, anda boleh tukar gaya rambut, tukar cita rasa fesyen serta warna solekan baru! Hidup baru, cara baru!
#4 Senyum!
Senyum adalah perbuatan yang paling ajaib. Sebagai contoh, jika anda sedang marah, cuba hela nafas sambil bibir mengukir senyuman. Pasti amarah anda itu akan beransur hilang. Paksa diri untuk senyum okay?
Senyum sesungguhnya akan menjadikan semua perkara lebih mudah seterusnya boleh dijadikan sebagai ‘aksesori’ yang sesuai dengan semua jenis fesyen serta gaya yang anda bawa. Hebat bukan?
Paling penting, jangan pernah berhenti untuk bermimpi kerana semuanya akan menjadi realiti bermula dengan angan-angan.
https://www.youtube.com/watch?v=CRfCRQOKw7Q
Sayangi diri dan selamat beramal!