Penyelenggaraan sistem bekalan elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Pencawang Masuk Utama Bukit Badong, Hulu Selangor akan mengambil tempat menyebabkan lebih 3,892,641 orang pengguna di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air Isnin ini.
Ia seterusnya membabitkan 814 buah kawasan termasuk daerah Petaling Jaya, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur sendiri termasuklah 707,759 akaun.
Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan, kerja henti tugas TNB akan bermula dari jam 8 pagi hingga 12 malam iaitu selama 16 jam lamanya.
“(Ia akan) menjejaskan operasi di loji-loji rawatan air utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang,” tambahnya dalam sebuah kenyataan, semalam.
Katanya lagi, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja penyelenggaraan selesai dan loji-loji rawatan air terbabit beroperasi semula.
“Pengguna dinasihati untuk menyimpan air mencukupi bagi tempoh gangguan bekalan air sementara ini,” katanya.