Sejak kebelakangan ini, ramai yang beranggapan bahawa ungkapan “Merry Christmas” sebagai ucapan kepada penganut agama Kristian adalah haram semata-mata bagi seseorang muslim. Ini kerana ia seolah-olah kita membesar-besarkan perayaan mereka dengan mengaku adanya tuhan lain selain Allah.
Lebih-lebih lagi sejak ramai yang telah celik IT, ada keyboard warrior yang tampil menyimbah minyak untuk memarakkan api kemarahan serta kekeliruan orang ramai.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman web rasminya telah mengeluarkan kenyataan bahawa ucapan tersebut adalah diharuskan.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia adalah berdasarkan beberapa hujah, antaranya ucapan yang diberikan merupakan simbol perpaduan untuk masyarakat yang hidup secara majmuk.
Bagaimanapun, katanya umat Islam tetap perlu mematuhi beberapa ‘syarat’ seperti melafazkan ucapan tanpa niat mengagungkan, dan tidak membabitkan diri dalam ritual keagamaan yang dilakukan.
Kenyataan itu turut memetik beberapa ayat al-Quran, seperti Surah al-Mumtahanah ayat 8 hingga 9.
Ayat itu antara lainnya menggalakkan umat Islam berlaku adil dan saksama kepada orang-orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam.
Sekaligus merujuk kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 tahun 2007 yang berbunyi:
“Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”