Tidak dinafikan, bagi sesetengah golongan wanita, dapur adalah tempat dalam rumah yang paling digemari. Di situlah tercetusnya idea air tangan yang paling sedap khas untuk dihidangan buat keluarga tersayang.
Walau bagaimanapun, sering kali kita terlupa untuk menerapkan gaya dekorasi yang menarik didapur sebaliknya hanya fokus kepada tempat tumpuan tetamu seperti ruang tamu dan kamar tidur sahaja.
Meskipun dapur adalah antara ruang yang paling kecil dan tersorok di rumah, tidak mustahil jika ianya sekaligus dapat menambah kriteria keharmonian di dalam rumah andai dihias dengan tepat dan cantik.
Idea Wanista untuk para pembaca sekalian, ini 9 tips bagaimana untuk jadikan dapur lebih menarik!
#1 Tambahkan Sinki Jenis Tembaga Rona Gangsa
Untuk konsep hiasan dalaman moden, tembaga adalah antara material yang paling popular masa ini. Lebih tepat jika anda terapkan konsep klasik ini di bahagian sinki dan serikan ia dengan beberapa pasu pepohon rendang seperti kaktus atau bonzai. Pasti nampak lebih segar dan bergaya! Kunjungi ikea untuk lebih banyak pilihan sinki moden pada harga berpatutan dan mampu milik mengikut bajet.
#2 Tukar Gaya Pemegang Laci
Memanglah andainya anda mengupah orang untuk membuat kabinet dapur, anda tidak berpeluang untuk memilih gaya pemegang kabinet dan laci. Namun, anda sebenarnya boleh melakukan perubahan dengan sendiri.
Demi menaikkan seri dapur mengikut cita rasa, anda boleh menukar jenis pemegang. Cuba cari alternatif pemegang ganti di gedung-gedung menjual alat ganti atau perkakasan rumah seperti IKEA atau SSF Home Deco untuk membelinya. Sekaligus, ia bukan sahaja mencantikan keadaan dapur malah diterap dengan gaya personaliti diri!
#3 Main Dengan Aspek Cahaya?
Anda salah jika fikir dapur tidak memerlukan pencahayaan yang cantik dan bernas. Bukan ruang tamu sahaja perlu diterap dengan pencahayaan artistik, dapur juga!
Cuba wujudkan suatu kelainan untuk meletakkan lampu meja dengan reka bentuk menarik di beberapa sudut dapur. Ia pasti nampak berkelas!
#4 Alas Logam Tahan Karat?
Asyik gunakan batu marmar dan kayu plywood sahaja, jadi apa kata kali ini anda hamparkan lapisan logam tahan karat sebagai bahagian atas kabinet. Diinspirasi dari meja kabinet restoran, gaya industrinya bakal menerbitkan aura yang lebih profesional!
#5 Gantungkan Karya Seni
Setidak-tidaknya, tidaklah dapur anda nampak bosan dan polos semata. Tak salah jika anda terapkan dekorasi dengan menggantungkan karya seni ringkas seperti lukisan, gambar-gambar menarik, atau perhiasan dinding dinamik dengan gayanya tersendiri.
#6 Gantungkan Cermin Untuk Beri Ilusi Keluasan
taktik ini bukan sahaja anda boleh gunakan di ruang tamu, ruangan dapur juga bisa! Ini adalah cara murah bagaimana untuk memaksimakan penggunaan dapur serta menampakkan ruang dapur lebih luas.
#7 Pemilihan Warna Cat
Siapa kata anda hanya boleh mewarnakan dapur dengan satu pilihan rona saja? Jika anda cukup bijak dan kreatif, anda boleh abadikan dinding dapur sebagai kanvas lukisan.
#8 Tambah Perabot Vintaj
Untuk suatu kelainan, jika dapur anda telah cukup moden, lembutkan keadaan atau suasana dapur dengan perhiasan ala vintaj. Kombinasi ini seterusnya akan mewujudkan gaya kontemporari bersahaja.
#9 Kebun Herba Dalam Dapur
Seperti orang Itali, Mexico atau Timur Tengah, masakan harian kita sering dipengaruhi dengan penggunaan herba sebagai rempah yang akan menyedapkan lagi sesuatu hidangan itu, jadi anda boleh wujudkan suatu ruangan di dalam dapur yang boleh dijadikan kebun herba persendirian.
Comel dan dapur nampak cantik dalam sekelip mata dengan tumbuhan herba yang rimbun dan menghijau. Bila nak guna, petik je!
RUJUKAN -Pinterest