Tidak dinafikan ramai di antara kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap mangsa krisis kemanusiaan Rohingya namun, dalam pada keprihatinan yang kita beri, ada antara individu yang mengambil kesempatan.
Berikutan kebanjiran warga Islam Rohingya di Malaysia kini membuatkan ada yang mengambil kesempatan mengakui warga tersebut untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Pengarah Media, Asean Rohingya Center Institut Kerjasama Islam Antarabangsa (Ikiam), Datuk Mat Metro berkata, ramai warganegara lain terutamanya Bangladesh yang mengakui warga Rohingya untuk mendapat bantuan yang diberi oleh pihaknya.
“Kita kadang-kadang tak dapat bezakan warga Rohingya ini dengan yang lain, sebab itu ada yang ambil kesempatan mengaku kata dirinya warga itu, kita beri sahaja bantuan.
“Kini kami terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga dalam berikan bantuan supaya tiada kes penipuan terjadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.
Pada awalnya, Malaysia dan Indonesia tidak mahu buka pintu menerima etnik Rohingya tetapi akhirnya mengubah fikiran dengan menawarkan perlindungan sementara terhadap kumpulan pelarian ini.
Setakat ini, perkara masih lagi terkawal dan tiada sebarang tangkapan yang dibuat.
“Kami hanya beri peringatan sahaja buat mereka yang menipu dan mengambil kesempatan ke atas kesusahan orang lain.
“Cuma kami amat berharap agar mereka ini tidak lagi berbuat demikian atas dasar sifat kemanusiaan,” katanya lagi.