Air merupakan salah satu komponen paling penting dalam gaya hidup yang sihat. Air bukan sahaja membantu anda dalam mengekalkan berat badan yang seimbang dan kurang berasa letih, tetapi ia juga mampu menjaga kecantikan diri anda dalam jangka masa yang lama.
Untuk membantu anda minum air yang mencukupi setiap hari, anda boleh cuba cara-cara yang kami kongsikan di bawah:
1. Jadikan air lebih enak
Sekiranya anda tidak gemarkan air minuman yang biasa, tawar dan tiada rasa, apa kata anda cuba tambahkan rasa ke dalam air tersebut. Pastikan anda menggunakan bahan semulajadi seperti buah lemon, oren, strawberi, madu, daun pudina dan sebagainya bagi memberikan rasa yang lebih enak pada air kosong. Timun, kiwi dan tembikai juga merupakan pilihan yang bagus. Ini akan memberikan anda galakan untuk minum air dengan lebih banyak setiap hari.
2. Melabur dalam bekas air yang menarik
Setiap orang mempunyai cita rasa yang berbeza; ada yang suka minum air di dalam gelas biasa, ada yang sukakan botol kaca, plastik, dan ada juga yang sukakan botol-botol atau bekas air menarik. Bagi mendorong anda minum lebih banyak air setiap hari, apa kata anda melabur sedikit wang anda untuk membeli bekas air menaruik yang membuatkan anda berasa gembira. Ia sekaligus membantu anda untuk minum lebih banyak air dari kebiasaan.
3. Pastikan bekas air mudah dibawa
Selain daripada mendapatkan bekas air yang menarik, anda juga harus memastikan bekas air itu mudah untuk dibawa ke mana sahaja. Selain itu, pastikan anda mempunyai satu botol atau bekas air di bilik tidur, meja kerja, dalam beg, dalam kereta dan di mana sahaja tempat yang anda banyak menghabiskan masa.
4. Cuba aplikasi
Terdapat banyak aplikasi telefon yang mengingatkan anda untuk minum lebih banyak air setiap hari. Muat turun aplikasi tersebut pada telefon pintar anda.
5. Jadikan ia satu cabaran yang menyeronokkan
Cabar diri anda untuk minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari dalam masa sebulan sebagai tempoh percubaan. Ambil gambar diri sendiri sebelum anda bermula, dan satu lagi pada akhir bulan. Anda mungkin dapat melihat perubahan bagus pada diri dan wajah anda kesan pengambilan air yang mencukupi secara tetap.
Jom sama-sama kita praktikkan!