Dari mana datangnya ilham fesyen jika tidak menampilkan ciri-ciri hebat daripada picisan idea rekaan dan gaya fesyen zaman terdahulu.
Zaman retro nyata telah mencipta suatu gaya yang tidak lapuk dek zaman. Mengetengahkan corak-corak ranggi yang berani, dihiasi pula rona terang memukau. Jadi tidak hairanlah jika ia membangkitkan kembali trend fesyen nostalgia ini.
Tidak kiralah sama ada ia berasaskan gambaran geometrikal mahupun floral atau apa sahaja corak seni artistik, ia sememangnya menjadi ikonik bagi para peminat fesyen seantero dunia.
Tahun baru 2016 dilihat bakal memberi apresiasi kepada gabungan corak ikonik berkenaan. Terdapat banyak jenama pereka tersohor seperti Gucci, Dolce & Gabbana dan Roberto Cavalli bergerak menyunting dan mengabadikan corak cetakan bold klasik itu ke dalam koleksi rekaan mereka yang terkini.
Dari majlis keramaian sehinggalah untuk tujuan ke pejabat, anda bisa sahaja menggayakan persalinan sut sepadan ini. Anda pasti menjadi perhatian ramai, lebih-lebih lagi si paparazi yang melihat anda seperti selebriti hangat -bijak bergaya dan mengatur pemakaian fesyen sehari-hari.