Couture adalah koleksi pakaian yang dijahit dengan tangan sepenuhnya, menepati kriteria “high end” fesyen yang mahsyur dan dibuat mengikut kehendak serta saiz tempahan yang diminta oleh pelanggan.
Baru-baru ini, selebriti jelita Jennifer Lopez dilihat seksi habis apabila menggayakan dress labuh berona kuning terang, picisan dari koleksi Couture Musim Luruh/Sejuk 2015 ilham Giambattista Valli.
Bukan itu sahaja, apa yang menarik perhatian lensa kamera pada majlis acara karpet merah Golden Globe ke -73 itu semalam adalah aksesori yang menghiasi persalinan polosnya itu.
Jennifer dilihat megah menggayakan berlian Harry Winston 200 karat, termasuk kalung bertatah berlian yang dianggar 46.95 karat, kalung caftan bertindih 68.40 karat, gelang tangan berlian marquise dengan potongan bulat mempersona 59.27 karat, anting-anting genit berlian kuning 16.46 karat serta cincin yang dikelilingi berlian 5.21 dan cincin bertatah berlian kuning yang mempunyai potongan bersinar.
Bintang Shades of Blue itu bagai dihujani kemewahan apabila dikelilingi butiran berlian dan permata mahal sebegitu. Selain itu, ini adalah kali kedua Jennifer Lopez ditangkap mengenakan pakaian berselendang tutup bahu (cape) selepas pakaian yang direka oleh Zuhair Murad pada tahun 2015 lalu.
Jennifer Lopez bergandingan bersama penari kacak, Casper Smart yang merupakan teman lelakinya pada acara gilang-gemilang itu, seiring dengan selebriti A-list yang lain seperti Lady Gaga, Amy Adams, Jim Carrey, America Ferrera dan ramai lagi!