Elemen ranggi yang dimainkan bersama warna-warna pop sering menjadi sisi utama koleksi rekaan MOSCHINO.
Baru-baru ini, MOSCHINO dengan jayanya melancarkan koleksi pakaian untuk lelaki musim Luruh/Sejuk 2016.
Tampak unreal, rekaan seakan-akan lukisan ‘pop art’ di atas kanvas. Bagaikan illusi pakaian yang dilukis pada badan model yang menggayakannya. Cukup kreatif sekaligus pasti mampu menceriakan lagi arena fesyen seiring trend pemakaian masa kini.
Koleksi pakaian lelaki Musim Luruh/Sejuk 2016 MOSCHINO adalah hasil cetusan idea seni grafik pereka fesyen Jeremy Scott yang menjadikan ikon David Bowie sebagai inspirasi utama rekaannya kali ini.
Jadi, tidak hairanlah jika dilihat, palet warna terang yang digunakan rata-ratanya berlandaskan kumpulan rona terkenal era 80-an yang selalu digayakan oleh selebriti ikon David Bowie.
Untuk pengetahuan anda, selain seorang pengubah lagu dan penghibur, David Bowie pernah menggegarkan arena fesyen suatu ketika dulu kerana berani mencuba rekaan pakaian yang eksentrik dan unik, menarik perhatian para peminat fesyen yang sezaman dengannya.
Sebagai penambah perisa pula, Scott turut meminjam karya seni Gilbert & George untuk menghiasi rekaannya. Hasil gabungan silhouette, efek warna serta illusi 3D sememangnya mencetuskan fenomena unggul dalam koleksi pakaian lelaki Moschino Musim Luruh/Sejuk 2016.
Cukup hebat, buat individu yang berjiwa remaja, mereka pasti gemarkan picisan idea yang disunting dari karya seni terdahulu. Scott boleh dikatakan bijak dan ianya bakal menjadi buah mulut para pengikut MOSCHINO dalam masa yang terdekat.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.moschino.com