“Ketika sujud (semasa solat), kaki saya terpaksa diikat bagi mengelakkan saya terapung,” demikian ujar Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ketika menceritakan pengalaman bersolat di angkasa lepas sembilan tahun lalu.
Menurut Sheikh Muszaphar, ia hanyalah prosedur biasa memandangkan keadaan di angkasa lepas yang bebas graviti.
Menceritakan pengalaman bersolat semasa berada di angkasa lepas pada Oktober tahun 2007, Sheikh Muszaphar berkata, kitaran bumi yang berputar setiap 90 minit mengelirukan waktu bersolat.
“Setiap 45 minit, sudah jadi siang. Kemudian 45 minit lagi jadi malam. Kita kena solat 80 kali. Bermakna setiap lima minit saya kena bersolat.
“Jadi apa yang saya buat? Saya berbincang dengan ulama dunia tentang cara bersolat dan saya rujuk Jakim tentang berapa kali saya perlu bersolat. Keputusannya, saya hanya perlu bersolat sebanyak lima kali sehari mengikut waktu solat di Kazakhstan,” katanya ketika ditemui pada program Temu Mesra Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar bersama Salizhan Sharipov di Kumpulan Media Karangkraf.
Menjelaskan tentang wuduk pula, Sheikh Muszaphar berkata, beliau hanya menggunakan kaedah tayamum semasa menunaikan solat di angkasa lepas.
“Saya hanya tepuk-tepuk dinding di ruang kapal angkasa, kemudian sapu di muka. Saya tepuk lagi dinding pada kapal, kemudian sapu di lengan pula, begitulah cara saya berwuduk,” katanya lagi.