Iron Man Indonesia gegar dunia teknologi? Ini bukan adegan dalam filem tetapi tangan bionik ini memang wujud dan ianya dicipta sendiri oleh warga Indonesia berdasarkan ilham adaptasi daripada filem Iron Man.
Untuk pengetahuan anda, Wayan Sumardana Sutawan, berasal dari Bali mampu mencipta tangan unik itu meskipun bukan daripada golongan mempunyai latar belakang pendidikan sekurang-kurangnya kejuruteraan fizikal atau mekanikal.
Sutawan atau lebih dikenali dengan panggilan Tawan mempelajari teknologi tangan bionik tersebut hanya menerusi Internet serta berpandukan video di YouTube.
Tawan menerangkan dia pada mulanya disahkan menghadapi penyakit angin ahmar sejak enam bulan lalu. Perkara tersebut membuatkan tangan kiri lelaki yang kini berusia 31 tahun itu sukar untuk digerakkan.
Menurut doktor, penyakitnya itu juga akan menyebabkan Tawan sukar untuk melakukan kerja hariannya iaitu sebagai buruh besi di sebuah bengkel tempatan.
Disebabkan itu, Tawan mencari idea untuk membuat tangannya kembali ‘berfungsi’ disamping keluarganya yang mengharapkan dirinya untuk menampung pembelanjaan hidup.
Lantas Sutawan yang menanggung pelbagai beban dan kedaifan hidup nekad menggunakan barangan-barangan di bengkel besinya dan dikatakan telah berkali-kali gagal ketika ciptaannya itu hampir 50 peratus siap.
Berita mengenai kejayaan beliau telah membuatkan dirinya digelarkan ‘Iron Man Bali’ daripada media tempatan.