Sejak 57 tahun lalu, Barbie berjaya menyerikan kehidupan kanak-kanak perempuan yang secara tidak langsung telah menjadikannya sebagai ikon gadis jelita yang kini telah pun dewasa.
Barbie dikenali sebagai patung gadis yang bertubuh sempurna -memiliki pinggang ramping, raut wajah cantik, rambut yang ikal menawan, sehingga ramai di antara pesaing serta beberapa golongan masyarakat dunia yang menimbulkan spekulasi bahawa kewujudan patung Barbie ini adalah punca kepada tekanan.
Tidak lama dahulu, Barbie pernah dikaitkan dengan pengaruh negativiti kerana ia dikatakan mencipta suatu pemikiran berat sebelah bahawa gadis atau wanita yang bertubuh langsing, tinggi sambil mempunyi raut wajah yang cantik serta cerah itu adalah suatu kemestian.
Kini, Barbie cuba menerapkan elemen yang lebih realistik agar dapat diterima oleh masyarakat umum. Terbaharu, rekaan patung Barbie kini terdapat dalam pilihan bentuk badan yang gempal, tinggi dan langsing. Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dalam 7 tona kulit yang berbeza seperti manusia biasa.
Projek untuk menukar bentuk serta struktur rupa dan bentuk badan Barbie ini digelar sebagai “Project Dawn” dan hanya ada sekitar 20 orang sahaja yang mengetahui tentang kewujudan serta kemunculan inisiatif ini.
Patung pertama yang memiliki rupa paras serta bentuk badan ideal dan lebih realistik itu telah mula dipasarkan semalam, 28 Januari 2016, dan Mattel akan memerhatikan dengan teliti apakah jenis reaksi dan sambutan yang diberikan oleh orang ramai. Apa pendapat anda tentang kemunculan anak patung Barbie yang baharu ini?
https://www.youtube.com/watch?v=vPETP7-UfuI
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.barbie.com.