Anda pasti biasa melihat anak muda ini, bukan? Ya, dalam drama bersiri ‘Oh My English’. Tak sangka pula Juzzthin atau nama sebenarnya Mohamad Nazreen Norzali merupakan seorang rapper.
Untuk pengetahuan anda, Juzzthin memulakan kariernya sebagai penyanyi rap pada umur 17 tahun apabila bakat beliau telah dilihat oleh rakan-rakannya dan telah mempelawa untuk menyertai kumpulan Hip-Hop yang diberi nama “Tricky Tongue”. Kumpulan ini berakhir menjadi juara untuk rancangan realiti yang besar di Malaysia iaitu “Blast Off Season 3” pada tahun 2007. Dari situ, Juzzthin secara perlahan-lahan mula membuat persembahan dan lakonan secara solo.
Single pertama beliau yang bertajuk “Sunset Boulevard” telah mendapat sambutan yang baik dan itu adalah merupakan titik permulaan di mana beliau telah ditemui oleh DJ Fuzz dan ditandatangani oleh Mixology Music pada tahun 2012.
Mula menempah nama sebagai penyanyi rap di industri muzik tempatan selepas popular dengan lagu hasil kolaborasinya bersama W.A.R.I.S dalam lagu ‘Botingkek’. Pasca ‘Botingkek’, Juzzthin terus mendapat perhatian menerusi kolaborasi juga bersama W.A.R.I.S dan Mas Idayu menerusi ‘100% Cintaku’.
Hari ini 28 Januari 2016, Warner Music Malaysia dan Mixology Music dengan berbesar hati melancarkan album sulung Juzzthin yang bertajuk ‘Class Is In Session’. Juzzthin yang sudah lama berkecimpung dalam bidang hip-hop ini menggunakan bakat dan kehebatan dirinya dalam menulis lirik lagu yang juga di bantu oleh beberapa rakan hebat beliau di dalam muzik hip-hop tempatan seperti DJ Fuzz, Aziquebeats, W.A.R.I.S dan ramai lagi.
Album ‘Class Is In Session’ sudah pasti akan memberi kepuasan di hati para pendengar terutama sekali bagi mereka yang meminati lagu berentak hip-hop/rap yang mula bertapak di persada muzik tanah air dari tahun 1990-an.
‘Serik Dengan Cinta’ merupakan single terbaru Juzzthin yang turut dimuatkan di dalam album ini. Lagu ini merupakan hasil kolaborasi bersama pelakon terkemuka tanah air iaitu Maya Karin. Pemilihan Maya Karin untuk digandingkan bersama Juzzthin untuk lagu ini adalah kerana kelunakkan suara yang dimiliki olehnya diklasifikasikan sebagai suara yang mempunyai aura tersendiri yang mampu menarik sesiapa sahaja yang mendengar.
Secara keseluruhannya lagu ini berkisarkan tentang kesedihan dan tewas dalam mengharap untuk kembali bercinta. Dengan rap bersahaja dan rentak lagu yang rancak akan pasti menjadi tarikan ramai. Lagu ini bukan sahaja mampu menarik pendengar muda tapi juga dipercayai mampu menarik dan menjadi halwa telinga semua lapisan masyarakat, terutamanya dalam mengembalikan semula kenangan pahit manis semasa bercinta.
Album ‘Class Is In Session’ ini merupakan satu lagi edaran daripada Warner Music (M) Sdn Bhd.