Terkini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat pengumuman untuk mengguna nama baharu untuk skuad bola sepak kebangsaan iaitu ‘Harimau Malaysia’ berkuat kuasa serta merta.
“Bagi melancarkan era baharu bola sepak Malaysia mulai tahun 2016 ini, FAM berasakan nama gelaran Harimau Malaya yang sering kali diguna pakai sebelum ini sudah tidak lagi sesuai.
“Ini memandangkan perkataan Malaya itu sendiri tidak lagi diguna pakai secara menyeluruh di negara ini sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, iaitu kira-kira 53 tahun yang lalu.
“Justeru itu, FAM dengan secara rasmi mengumumkan untuk mengguna pakai nama Harimau Malaysia sebagai nama gelaran baharu untuk skuad kebangsaan.
“Gelaran ini juga bertepatan untuk menggambarkan skuad kebangsaan kita adalah milik seluruh rakyat Malaysia termasuk juga mereka di Sabah dan Sarawak yang mungkin selama ini terasa sedikit tersisih dengan penggunaan gelaran Harimau Malaya.
“Jadi sebab itulah FAM berasakan 2016 adalah tahun sesuai untuk permulaan penggunaan nama gelaran baharu ini bagi menyaksikan skuad Harimau Malaysia kembali bangkit dan menjadi pasukan kompetitif di peringkat antarabangsa” titah Tengku Abdullah dalam satu majlis pengenalan penaja rasmi Harimau Malaysia.
Satu peraduan mencipta logo Harimau Malaysia juga turut dilancarkan yang mana terbuka kepada semua warganegara Malaysia.
Peraduan itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mencipta imej baharu pasukan kebangsaan dan juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM10,000 serta pengalaman bersama skuad kebangsaan pada kejohanan AFF Suzuki pada akhir tahun ini.